KETUA Dewan Ulama PAS, Datuk Hassan Mahmood, (dua dari kiri) ketika menghadiri Muktamar Dewan Ulama PAS Negeri Kelantan di Kompleks Pendidikan Islam. FOTO Syaherah Mustafa
KETUA Dewan Ulama PAS, Datuk Hassan Mahmood, (dua dari kiri) ketika menghadiri Muktamar Dewan Ulama PAS Negeri Kelantan di Kompleks Pendidikan Islam. FOTO Syaherah Mustafa
Syaherah Mustafa

Bachok: PAS perlu bersangka baik dengan Umno dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sekiranya mahu meraih kemenangan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan datang.

Ketua Dewan Ulama PAS Kelantan, Datuk Hassan Mahmood berkata, PAS sebagai sebuah gerakan Islam perlu berjiwa besar untuk menjadi pendamai dalam agenda perpaduan ummah.

Katanya, bagaimanapun, pihaknya perlu terlebih dahulu membentuk perpaduan sesama ahli PAS untuk memastikan parti itu kukuh dengan keseragaman dalam tindakan.

"Persoalan ukhwah dalam kalangan anggota parti dan kepatuhan terhadap dasar serta polisi hendaklah sentiasa dititikberatkan. Dengan ini, barulah parti kita dihormati oleh kawan dan digeruni lawan.

"Dalam usaha untuk memastikan kerajaan yang ada sekarang kekal memerintah, pendokong PAS perlu lebih bijaksana dan cermat dalam berhadapan pelbagai situasi.

"Persepakatan dan kerjasama membuahkan hasil menguntungkan, tetapi jika berlaku persengketaan atau perbalahan pula boleh membawa kepada kekalahan dan kerugian," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan di Muktamar Dewan Ulama PAS Negeri Kelantan di Kompleks Pendidikan Islam, di sini, hari ini.

Dalam muktamar itu, Dewan Ulama Pas Kelantan meluluskan 10 usul yang dikemukakan termasuk mewujudkan perjanjian persefahaman yang jelas dan tegas dalam mempertahankan prinsip-prinsip Islam dalam perkara membabitkan dasar kerajaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Oktober 2021 @ 4:14 PM