AHMAD Yahaya. FOTO Arkib NSTP
AHMAD Yahaya. FOTO Arkib NSTP
Noorazura Abdul Rahman

Yan: Dewan Ulama PAS Pusat mencadangkan agar kerajaan meminda undang-undang melarang individu yang berdepan perbicaraan kes mahkamah berkaitan salah laku, penyelewengan dan rasuah tidak dibenarkan untuk menjadi calon pilihan raya.

Ketua Dewan Ulama PAS Pusat Datuk Ahmad Yahaya berkata, pihaknya bimbang sekiranya individu terbabit terus diberi peluang untuk bertanding, mereka akan menggunakan kedudukan mereka untuk mengelak daripada dikenakan tindakan.

"Dalam aspek ini, kita mengharapkan agar kes-kes melibatkan rasuah dan salah laku para pemimpin parti politik dapat disegerakan perbicaraannya di mahkamah supaya proses pembersihan pemimpin politik dapat dilakukan dengan efektif.

"Kita semua perlu mengangkat semula maruah demokrasi dalam negara selaras dengan prinsip Islam," katanya ketika menyampaikan ucaptama sempena Muktamar Dewan Ulama PAS kali ke-61 di Guar Chempedak, Kedah hari ini.

Hadir merasmikan majlis itu ialah Mursyidul Am PAS Datuk Hashim Jasin.

Ahmad berkata demikian ketika mengulas kejayaan kerajaan meluluskan pindaan perlembagaan bagi menyediakan ruang peruntukan berkenaan larangan ahli dewan rakyat bertukar parti.

Beliau berkata, kerajaan perlu mengetatkan lagi syarat kebenaran individu yang dipilih sebagai calon pilihan raya.

Malah katanya, kelayakan bertanding bagi seseorang yang pernah mengeluarkan kenyataan yang boleh menggugat keharmonian negara, serta mempertikaikan hak keistimewaan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan juga perlu digugurkan.

"Bukan sahaja parti politik perlu berevolusi bagi memastikan perlembagaan parti disesuaikan dengan pindaan larangan anti lompat parti, bahkan juga para pengundi turut memainkan peranan bagi memastikan sokongan diberikan kepada golongan yang benar-benar bersih dalam pilihan raya kelak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 September 2022 @ 3:36 PM