Syaherah Mustafa


Bachok: Dewan Ulama PAS Kelantan menyarankan perwakilan agar menguasai media sosial bagi menarik pengundi baharu berusia 18 tahun ke atas untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Ketuanya Datuk Hassan Mahmood berkata, ini kerana kehidupan remaja masa kini tidak lekang dengan penggunaan media sosial seperti Facebook, Instagram, Twitter dan WhatsApp.

Katanya, selain itu pihaknya turut memperkasakan gerakan dakwah kepada generasi muda selain mengamalkan pendekatan mesra dengan menganjurkan aktiviti santai yang menarik minat mereka sekali gus berkempen secara halus.

"Kita juga perlu memastikan golongan muda yang terdekat seperti anak-anak, saudara-mara dan jiran tetangga agar faham betapa pentingnya untuk memenangkan Islam.

"Ia sejajar dengan situasi pertambahan pengundi yang mendadak di parlimen serta dewan (undangan negeri) seluruh negara susulan kebenaran mengundi dibuka untuk anak muda berusia 18 tahun dan ke atas.

"Berdasarkan informasi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), terdapat seramai 5.8 juta pengundi muda yang berdaftar, tidak termasuk golongan dewasa yang selama ini tidak pernah mendaftar untuk mengundi," katanya.

DATUK  Hassan Mahmood, (dua dari kiri) ketika menghadiri Muktamar Dewan Ulama PAS Negeri Kelantan di Kompleks Pendidikan Islam, di sini, hari ini. FOTO Syaherah Mustafa
DATUK Hassan Mahmood, (dua dari kiri) ketika menghadiri Muktamar Dewan Ulama PAS Negeri Kelantan di Kompleks Pendidikan Islam, di sini, hari ini. FOTO Syaherah Mustafa

Beliau berkata demikian dalam ucapannya di Muktamar Dewan Ulama PAS Negeri Kelantan di Kompleks Pendidikan Islam, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Dewan Ulama PAS Kelantan meluluskan usul bagi mewujudkan Task Force khusus untuk pengundi baharu berusia 18 tahun agar dapat menarik minat mereka supaya peduli kepada negara dan agama.

Usul berkenaan antara salah satu usul yang diterima untuk dibahaskan selepas dibentangkan oleh wakil PAS Kubang Krian serta disokong tanpa bahas oleh seluruh perwakilan yang hadir.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Oktober 2021 @ 3:38 PM