Aminuddin (tengah) bertanyakan khabar dengan seorang bakal pesara dalam  pentadbiran kerajaan Negeri Sembilan di Seremban hari ini. Foto Mohd Amin Jalil.
Aminuddin (tengah) bertanyakan khabar dengan seorang bakal pesara dalam pentadbiran kerajaan Negeri Sembilan di Seremban hari ini. Foto Mohd Amin Jalil.
Mohd Amin Jalil


Seremban: Berhati-hati ketika menggunakan aplikasi digital dan platform media sosial agar tidak terjerat dalam sindiket penipuan sama ada Macau Scam, Love Scam mahupun pelaburan dan pinjaman tidak wujud.

Nasihat itu oleh Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun yang dituju khas buat golongan pesara yang menerima ganjaran dan wang pencen

Katanya, mengikut rekod Polis Diraja Malaysia (PDRM), kes penipuan cukup popular di Negeri Sembilan dengan sejumlah 888 kes penipuan pinjaman tidak wujud dilapor dalam tempoh dua tahun sejak 2019.

"Selain itu terdapat penipuan pembelian atas talian sebanyak 861 kes dan penipuan percintaan atau Love Scam 236 kes dan Macau Scam (479 kes).

"Secara keseluruhannya terdapat 1,818 kes yang membabitkan rakyat Negeri Sembilan dan kerugian hampir RM44 juta pada 2019, sementara 1,781 kes dengan kerugian RM92 juta pada 2020.

"Oleh itu golongan pesara perlu berhati-hati dengan pelbagai sindiket penipuan seperti ini kerana anda mungkin boleh menjadi mangsa andai mudah terpedaya," katanya pada Majlis Penghargaan Pesara Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan di sini, hari ini.

Aminuddin berkata, usaha memberi kesedaran kepada rakyat perlu diteruskan agar mereka tidak mudah terpedaya, termasuk menerusi hebahan di media sosial dan media massa.

Dalam pada itu, katanya, kerajaan negeri menyambut baik Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang dibentangkan baru-baru ini, malah mempunyai hala tuju strategik dalam membangunkan sosio-ekonomi penduduk Negeri Sembilan menerusi pembinaan Institut Penyakit Berjangkit Malaysia yang akan dibina di Bandar Enstek Nilai, tahun depan dan pembinaan jalan baharu dari Kampung Gagu, Jelebu ke Ulu Beranang membabitkan kos RM179.2 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Oktober 2021 @ 6:08 PM