GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Sebanyak 1,475 kertas siasatan dibuka membabitkan kes penipuan di negeri ini membabitkan kerugian lebih RM43.4 juta sepanjang tahun lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, daripada keseluruhan kertas siasatan yang dibuka sepanjang 2021, penipuan membabitkan jual beli dalam talian merekodkan jumlah tertinggi dengan 658 kes membabitkan nilai kerugian lebih RM9.3 juta.

Menurutnya, penipuan pinjaman tidak wujud sebanyak 332 kes dengan nilai kerugian lebih RM6.07 juta diikuti pelaburan tidak wujud, 166 kes (RM13.09 juta), Macau Scam, 129 kes (RM10.58 juta), penipuan penyamaran, 103 kes (RM0.97 juta) dan Love Scam, 87 kes (RM3.39 juta).

"Dalam tempoh Januari tahun ini, sebanyak 140 kertas siasatan sudah dibuka dengan nilai kerugian lebih RM2.8 juta," katanya dalam kenyataan di sini.

Mohd Wazir berkata, daripada keseluruhan kes sepanjang Januari tahun ini, kes tipu jual beli dalam talian masih mencatatkan kes tertinggi dengan 45 kes membabitkan kerugian RM699,959.

"Bagi kes pinjaman tidak wujud sebanyak 29 kes dibuka kertas siasatan dengan nilai kerugian RM231,058 diikuti Macau Scam, 28 kes (RM1.4 juta), pelaburan tidak wujud, 20 kes (RM173,451), penyamaran, 12 kes (RM70,166) dan Afrika Scam atau Love Scam, enam kes (RM281,200)," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, bagi kesalahan jenayah komersial lain, sebanyak tiga kertas siasatan dibuka bagi kes pecah amanah di bawah Seksyen 406 dan Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

"Bagi kes jenayah siber pula, tiga kertas siasatan dibuka membabitkan kesalahan di bawah Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 dengan empat kes.

"Saya menasihatkan masyarakat supaya lebih berhati-hati dan tidak mudah terpengaruh dengan skim pinjaman, penipuan dan ugutan yang berakhir dengan kerugian," katanya yang tidak menolak pelbagai kaedah penipuan digunakan kini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Februari 2022 @ 8:36 AM