AMINUDDIN. FOTO Arkib NSTP
AMINUDDIN. FOTO Arkib NSTP
Mohd Amin Jalil

Seremban: Terdapat 1,590 kes jenayah komersial mengakibatkan kerugian RM23.9 juta dilaporkan berlaku di Negeri Sembilan pada tahun ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, kes penipuan merekodkan jumlah tertinggi dengan 1,496 kes membabitkan jumlah kerugian RM16.1 juta.

Beliau berkata, selain itu terdapat 94 kes jenayah lain termasuk pecah amanah jenayah, jenayah siber, wang palsu dan lain-lain dengan kerugian RM7.7 juta.

"Situasi ini berbeza dengan jumlah kerugian akibat jenayah komersial bagi 2019 yang membabitkan kerugian RM57.5 juta manakala kerugian bagi 2020 adalah RM96 juta.

"Kerugian tertinggi membabitkan kes penipuan dan pecah amanah menyebabkan rakyat Negeri Sembilan kerugian RM13 juta pada 2019 dan RM5.3 juta tahun lalu," katanya pada Persidangan Pertama (Perasmian) Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (Dun) Negeri Sembilan Yang Ke-14, di sini, hari ini.

Aminuddin (PH-Sikamat) menjawab soalan Ng Chin Tsai (PH-Temiang) yang bertanyakan mengenai kadar indeks jenayah komersial di Negeri Sembilan.

Beliau berkata, antara kes penipuan popular di Negeri Sembilan sepanjang 2019-2020 adalah penipuan pinjaman tidak wujud yang merekodkan 888 kes.

Menurutnya, kes penipuan belian dalam talian sebanyak 861 kes dan penipuan percintaan atau love scam sebanyak 236 kes dan penipuan Macau Scam berjumlah 479 kes.

"Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa berusaha menangani kes jenayah itu termasuk sebaran kesedaran melalui media sosial dan media massa agar rakyat tidak mudah terpengaruh dengan tawaran diberikan pihak ketiga.

"Malah operasi turut dijalankan polis selain pendedahan kepada masyarakat setempat terhadap kegiatan jenayah berkenaan melalui pelbagai cara seperti pengedaran risalah dan iklan pencegahan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 September 2021 @ 2:55 PM