KETUA Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib. FOTO Arkib NSTP.
KETUA Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib. FOTO Arkib NSTP.
Nur Lela Zulkipli


SIKAP rakyat yang enggan mengesahkan panggilan telefon diterima, selain mudah percaya terhadap penipuan si pemanggil, mendorong mereka menjadi sasaran sindiket Macau Scam.

Ini termasuk golongan profesional dan berpendidikan tinggi, yang kini dilihat sasaran mudah selain golongan pertengahan seperti suri rumah.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, berikutan sikap ‘tidak berat’ sesetengah pihak menyebabkan mereka dengan mudah menjadi mangsa Macau Scam.

Katanya, kejadian terbaharu direkodkan pada 23 Disember lalu, apabila pesara di Kota Kemuning diperdaya hingga kerugian RM749,938.

“Sebelum itu, dia dihubungi suspek kononnya mempunyai kes mahkamah berkaitan kesalahan trafik iaitu langgar lari dan terbabit pengubahan wang haram,” katanya, hari ini.

Baharudin berkata, pihaknya menerima dua lagi laporan penipuan Macau Scam pada 19 November lalu membabitkan seorang pesara kerajaan dari Seksyen 9, Shah Alam yang rugi RM 504,676.60 dan satu lagi kes di Sri Muda juga membabitkan pesara dengan nilai kerugian RM150,000.

“Taktik digunakan ke atas pesara di Seksyen 9 adalah mangsa dihubungi suspek lelaki daripada Pos Malaysia, namun didakwa melakukan jenayah dan perlu membayar sejumlah wang bagi mengelak ditahan.

“Sementara kes di Sri Muda, mangsa dihubungi suspek yang menyamar sebagai pegawai Telekom dan pegawai polis, yang mendakwa dia mempunyai tunggakan kad kredit dan diarahkan untuk membuat pembayaran ke dalam sebuah akaun bank bagi menyelesaikan kes tersebut,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, bagi tempoh Januari sehingga November 2019, jenayah penipuan Macau Scam di daerah itu meningkat 57 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Beliau berkata, peningkatan sebanyak sembilan kes, manakala nilai kerugian didapati menurun dari RM3.9 juta pada 2018 kepada RM2 juta bagi tempoh sehingga November 2019.

Menurutnya, berdasarkan laporan diterima, sindiket kerap menyamar sebagai pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM), mahkamah, Bank Negara Malaysia (BNM) atau agensi lain kerana lebih memberi keyakinan kepada mangsa.

“Modus operandi yang digunakan suspek pula terdiri daripada pelbagai bentuk antaranya, penipuan pinjaman bank, penggunaan kad kredit, penculikan dan tebusan, pembebasan tahanan, saman PDRM dan mahkamah, hadiah cabutan bertuah, pakej pelancongan serta banyak lagi,” katanya.

Dalam pada itu, Baharudin menasihati masyarakat supaya lebih peka dan mengambil langkah pencegahan bagi mengelak terpedaya jika dihubungi individu yang bersama dakwaan yang tidak sahih.

Katanya, lebih elok jika melakukan semakan segera selain menghentikan panggilan telefon yang mencurigakan.

“Tidak mustahil jika selepas ini ada cara lain digunakan sindiket selaras perkembangan teknologi dan mereka lebih kreatif menjerat mangsa.

“Untuk itu mangsa kena lebih peka dan berhati-hati,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Disember 2019 @ 11:57 AM