Lokasi melombong bijih besi secara haram di kawasan Hutan Simpan Papai, Pekan dan (gambar kecil) jengkaut yang dirampas oleh JPNP. Foto Mohd Rafi Mamat
Lokasi melombong bijih besi secara haram di kawasan Hutan Simpan Papai, Pekan dan (gambar kecil) jengkaut yang dirampas oleh JPNP. Foto Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat

Pekan: Unit Penguat Kuasa Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) berjaya mengesan kegiatan melombong bijih besi secara haram dalam Hutan Simpan Papai di sini, kelmarin.

Ketika serbuan dilakukan pasukan penguat kuasa yang diketuai Pengawas Hutan Ahmad Yunus Mohd Jama ditemukan sebuah jengkaut yang dipercayai digunakan sindiket terbabit.

Ketua Penolong Pengarah (Penguat Kuasa) JPNP Nor Azirim Ahmad berkata, kegiatan melombong secara haram itu berlaku di Kompatmen Lapan Hutan Simpan Papai.

Menurutnya, kegiatan melombong di kawasan terbabit dipercayai masih baharu dilakukan oleh beberapa individu yang mempunyai rangkaian dengan pihak lain, mereka juga mahir dalam menentukan kedudukan bahan galian terbabit.

Katanya, beberapa lubang ditemui dalam kawasan seluas kira-kira 0.8 hektar, beberapa longgok dipercayai bijih besi turut ditemukan di situ yang sedia untuk dipindahkan.

"Kawasan lombong berkenaan terletak berhampiran kampung kecil Orang Asli yang sudah ditinggalkan, jalan perhubungan yang baik menjadi kelebihan kegiatan melombong secara haram aktif di situ.

"Sindiket berkenaan dipercayai tidak melakukan kerja melombong sejak beberapa hari disebabkan jengkaut yang digunakan untuk kegiatan itu rosak, mereka dipercayai dalam proses membaiki jentera berkenaan," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya kini berusaha mengesan individu yang terbabit dengan kegiatan melombong secara haram dalam Hutan Simpan Papai, mereka yang terbabit boleh didakwa mengikut Akta Perhutanan Negara 1984.

Nor Azirim berkata, pihaknya bertindak menyita jengkaut dan kini ditempatkan di Pusat Simpanan Barangan Rampasan JPNP Pejabat Ladang Hutan Kemasuk, Mentakab sebelum sebarang tindakan dibuat selepas ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Oktober 2021 @ 4:06 PM