JENGKAUT dipercayai digunakan untuk melombong bijih besi secara haram di Hutan Simpan Ibam, Muadzam Shah. FOTO MOHD RAFI MAMAT
JENGKAUT dipercayai digunakan untuk melombong bijih besi secara haram di Hutan Simpan Ibam, Muadzam Shah. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Mohd Rafi Mamat


Rompin: Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) menumpaskan kegiatan menceroboh Hutan Simpan Ibam, Muadzam Shah untuk melombong bijih besi secara haram, petang semalam.

Usaha melumpuhkan kegiatan di Kompatmen 86 itu dilakukan sembilan anggota Unit Penguat kuasa Timur (UPKT) JPNP selepas mendapat aduan awam.

Ketua Penolong Pengarah (Penguat kuasa) JPNP, Nor Azirim Ahmad berkata, pihaknya dibantu kakitangan Pejabat Hutan Daerah (PHD) Rompin ke lokasi sebelum membuat pemantauan serta semakan di kawasan itu.

Beliau berkata, pihaknya menemui jengkaut dipercayai digunakan untuk aktiviti melombong bijih besi secara haram dan berada dalam Hutan Simpan Ibam tanpa permit memasuki hutan dikeluarkan JPNP.

"Kami percaya jengkaut itu digunakan untuk mengangkat ketulan batu ke atas lori untuk dipindahkan ke kawasan lain sebelum melalui proses seterusnya.

"Beberapa lubang bersaiz sederhana besar turut ditemui dalam kawasan terbabit yang dipercayai kesan ketulan batu diambil pihak tidak bertanggungjawab untuk diproses," katanya, di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya menyita jengkaut itu dan disimpan sementara di Pejabat Renjer Hutan Muadzam Shah dan kes disiasat mengikut Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313).

Menurutnya, ia adalah kejayaan pertama menumpaskan kegiatan melombong bijih besi secara haram di hutan simpan pada tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 January 2022 @ 10:47 AM