ANGGOTA Unit Penguat kuasa Barat Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) menyita jengkaut yang menceroboh Hutan Simpan Jerantut. FOTO Mohd Rafi Mamat
ANGGOTA Unit Penguat kuasa Barat Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) menyita jengkaut yang menceroboh Hutan Simpan Jerantut. FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat

Jerantut: Tindakan berani pemandu jengkaut menceroboh kawasan Kompartmen 26 Hutan Simpan Jerantut, di sini, secara haram mengundang padah apabila dia diberkas, semalam.

Serbuan dilakukan Unit Penguat kuasa Barat Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) selepas melakukan risikan dan pemantauan menggunakan imej satelit.

Ketua Penolong Pengarah (Penguat kuasa) JPNP Nor Azirim Ahmad berkata, hasil siasatan mendapati kawasan yang diceroboh itu akan dijadikan ladang kelapa sawit.

Menurutnya, kegiatan berkenaan mengundang kemusnahan secara tidak terkawal, selain kejadian hakisan juga boleh berlaku apabila kawasan hutan diteroka.

Katanya, berikutan itu lelaki berusia 43 tahun berkenaan ditahan untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan dan dibebaskan dengan jaminan polis.

"Kita turut menyita jengkaut dan pacuan empat roda untuk siasatan lanjut selain giat mengesan individu dipercayai dalang menceroboh kawasan berkenaan," katanya.

Menurutnya, siasatan juga mendapati kegiatan itu dipercayai mahu memperbesarkan kawasan tanaman kelapa sawit sedia ada yang diusahakan pihak tertentu.

Katanya, JPNP tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menceroboh hutan simpan di negeri ini dan tindakan tegas bakal diambil.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Mac 2022 @ 2:10 PM