APMM sedang giat menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang nelayan tempatan yang hilang di perairan Kuala Gula, Kerian. FOTO Maritim Malaysia
APMM sedang giat menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang nelayan tempatan yang hilang di perairan Kuala Gula, Kerian. FOTO Maritim Malaysia
BERNAMA

Ipoh: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sedang giat menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang nelayan tempatan yang hilang di perairan Kuala Gula, Kerian dekat sini, petang semalam.

Pengarah Zon APMM Kuala Kurau Komander Maritim Mohd Sharenliza Ghazali berkata, Ch'ng Poh Chuan, 71, yang turun ke laut pada 11 pagi semalam dengan menaiki sebuah sampan dilaporkan hilang oleh adik iparnya selepas dia tidak pulang ke rumah sehingga kini.

Beliau berkata, susulan laporan itu pihaknya mengaktifkan operasi SAR pada 9.30 malam, dan menghantar bot Maritim Benteng 3 ke lokasi kejadian bagi melakukan pencarian.

"Antara aset yang turut diatur gerak adalah Bot Maritim Kilat 9 dengan bantuan Bot Kerambit dari Pasukan Polis Marin dan Bot PL 105 Jabatan Perikanan selain dibantu komuniti nelayan setempat.

"Barang-barang peribadi Ch'ng ditemukan terapung dan tersangkut di sebuah sangkar ikan di perairan Kuala Gula malam semalam. Sektor pencarian hari ini dibahagikan kepada tiga sektor merangkumi keluasan 59.56 batu nautika persegi dari lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Mohd Sharenliza berkata, pihaknya turut menerima laporan penemuan mayat seorang lelaki terapung di Tanjung Piandang pada 10.15 malam tadi, dan Bot Maritim 3 digerakkan ke lokasi kejadian.

"Namun tiada identiti ditemukan pada mayat itu dan ia bukan mayat Ch'ng. Mayat itu kemudiannya dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin Kuala Kurau," katanya.

Beliau seterusnya mengingatkan orang ramai yang berhasrat melakukan aktiviti di laut agar mengambil langkah-langkah keselamatan seperti memakai jaket keselamatan, merujuk ramalan kaji cuaca, memastikan bot dalam keadaan baik dan membawa Personal Locator Beacon (PLB).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Oktober 2021 @ 5:05 PM