Mayat Cheah Teang Khee ditemui nelayan pada jam 12.23 tengah hari di 7.5 batu nautika barat Perairan Kuala Kurau. FOTO SHAIFUL SHAHRIN AHMAD PAUZI
Mayat Cheah Teang Khee ditemui nelayan pada jam 12.23 tengah hari di 7.5 batu nautika barat Perairan Kuala Kurau. FOTO SHAIFUL SHAHRIN AHMAD PAUZI
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Parit Buntar: Nelayan yang dilaporkan hilang di perairan Tanjung Piandang dekat sini, kelmarin, ditemukan lemas hari ini.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Komander Maritim Mohd Sharenliza Ghazali berkata, mayat Cheah Teang Khee, 61, ditemui nelayan tempatan pada 12.23 tengah hari dalam keadaan terapung 7.5 batu nautika barat muara Kuala Kurau.

Menurutnya, mayat itu segera dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) di sini, dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

"Mayatnya sudah dibuat pengecaman dan disahkan oleh ahli keluarga mangsa.

"Mayat lelaki itu juga sudah dihantar ke Hospital Parit Buntar untuk proses bedah siasat, operasi mencari dan menyelamat (SAR) juga ditamatkan pada 2 petang ini," katanya.

Menurutnya, pihaknya berterima kasih kepada semua agensi yang terbabit dalam SAR termasuk bantuan daripada komuniti nelayan setempat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian Superintendan Mazuki Mat ketika dihubungi mengesahkan penemuan mayat nelayan terbabit.

Semalam, Harian Metro melaporkan dua nelayan termasuk warganegara Indonesia hilang di dua lokasi berbeza di perairan Kuala Gula dan Tanjung Piandang.

Mayat lelaki Indonesia yang dikenali sebagai Gong Drong ditemukan terapung pada 11.59 tengah hari di kedudukan 0.6 batu nautika di perairan Kuala Gula.

Berita berkaitan

Dua nelayan hilang di laut

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Mac 2021 @ 5:01 PM