AKSI seorang daripada penunggang motosikal yang ditahan. FOTO Ihsan Polis.
AKSI seorang daripada penunggang motosikal yang ditahan. FOTO Ihsan Polis.
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Tindakan empat remaja lelaki termasuk seorang pelajar menunggang motosikal dan membuat aksi 'wheelie' membawa padah apabila ditahan polis dalam Ops Samseng Jalanan di dua lokasi berasingan di negeri ini kelmarin.

Pelajar berusia 16 ditahan di Kampung Saujana, Setiu manakala, tiga lagi remaja yang berusia antara 18 hingga 19 tahun ditahan berhampiran Kampung Batu Rakit, Kuala Nerus.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Terengganu Superintendan Ismail Man berkata, semua mereka ditahan Skuad 42 JSPT dalam usaha membendung kesalahan trafik termasuk aktiviti merempit.

Katanya, penahanan pertama membabitkan tiga remaja yang melakukan aksi wheelie sejauh 150 meter di Jalan Lembah Bidong - Batu Rakit berhampiran Kampung Batu Rakit, Kuala Nerus.

"Ketika itu, Skuad 42 JSPT sedang melakukan pemantauan dan terserempak dengan kumpulan remaja itu yang menunggang motosikal dari arah Pantai Rhu 10 menuju ke Batu Rakit, Kuala Nerus.

"Pasukan mengekori mereka dan semuanya ditahan ketika berhenti di tepi jalan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Ismail berkata, pelajar lelaki itu pula ditahan pada 6.10 petang di Kampung Saujana kerana melakukan aksi yang sama sejauh 100 meter ketika dalam perjalanan ke Kampung Raja, Besut.

"Kita memandang serius isu ini kerana tindakan mereka ini bukan sahaja berbahaya kepada diri sendiri tetapi pengguna jalan raya yang lain.

"Jangan jadikan cuti hujung minggu sebagai masa melepaskan gian untuk melakukan aksi-aksi berbahaya di jalan raya," katanya yang memberitahu semua mereka disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan empat motosikal disita mengikut Seksyen 64 akta sama.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan 22 saman membabitkan pelbagai kesalahan dikeluarkan sepanjang operasi itu.

Kesalahan itu termasuk tiada lesen memandu, ubah suai aksesori, brek tidak berfungsi dan lesen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 September 2021 @ 10:22 AM