AKSI remaja yang ditahan ketika berlumba dan melakukan aksi berbahaya di Jalan Bandar Baru Kuala Nerus. FOTO ihsan Polis
AKSI remaja yang ditahan ketika berlumba dan melakukan aksi berbahaya di Jalan Bandar Baru Kuala Nerus. FOTO ihsan Polis
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Dua pelajar mengambil kesempatan berlumba dan melakukan aksi merbahaya ketika umat Islam menunaikan solat tarawih di Jalan Bandar Baru Kuala Nerus, di sini, malam tadi.

Bagaimanapun, tindakan dua remaja lelaki berusia 16 dan 17 tahun itu membawa padah apabila ditahan ketika memberhentikan motosikal di Kampung Padang Kemunting, Kuala Nerus pada 9.06 malam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Terengganu Superintendan Ismail Man berkata, Skuad 42 JSPT sebelum itu melakukan pemantauan di Bandar Baru Kuala Nerus sebelum terlihat dua penunggang terbabit yang berlumba sesama sendiri.

Menurutnya, dua suspek turut melakukan aksi merbahaya dengan menundukkan kepala selari dengan meter dan menunggang secara zig- zag.

"Mereka dikesan membuat aksi itu sejauh 700 meter dari Bandar Baru Kuala Nerus menghala ke Taman Kemunting, Kuala Nerus sebelum Skuad 42 JSPT bertindak mengekori dua penunggang terbabit.

"Dua suspek berjaya ditahan ketika memberhentikan motosikal untuk siasatan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

"Selain menyita dua motosikal suspek, kita turut mengeluarkan sembilan saman membabitkan pelbagai kesalahan seperti tiada lesen, lesen kenderaan motor tamat tempoh, tidak memakai topi keledar dan tiada nombor pendaftaran," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Dalam operasi berasingan, Ismail berkata, seorang remaja lelaki ditahan selepas dikesan melakukan aksi merbahaya dengan bersaing sesama sendiri dan menunggang motosikal dengan aksi superman secara berulang kali membabitkan jarak kira-kira 600 meter.

Beliau berkata, suspek yang berusia 17 tahun itu dikesan melakukan kesalahan itu kira-kira 2.45 pagi tadi.

"Skuad 42 JSPT bertindak mengekorinya sehingga ke Jalan Gong Kijang, Kuala Terengganu sebelum ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 42 (1) APJ 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 April 2022 @ 11:24 AM