GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Zatul Iffah Zolkiply


WANITA ditangkap selepas mencederakan ibu mentua kepada bekas suaminya hingga patah jari kelingking, dalam kejadian di sebuah rumah di Batu Rakit, Kuala Nerus.

Dia yang berusia 37 tahun ditahan pada 6.30 petang Ahad lalu di Wakaf Tengah, Kuala Terengganu untuk siasatan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan.

Sumber berkata, kejadian berlaku pada 4.30 petang Sabtu lalu, ketika wanita itu ke rumah bekas suaminya, mendakwa mahu mengambil barangnya yang belum diambil selepas bercerai.

Katanya, ketika itu, mangsa berusia 48 tahun dan anak perempuannya yang juga isteri kepada bekas suami suspek berada di rumah terbabit.

Suspek difahamkan ke rumah berkenaan bersama kira-kira 20 individu lain.

“Bagaimanapun, ketika mengemas barang, berlaku pertengkaran mulut antara anak mangsa dan suspek sehingga mencetuskan pergaduhan.

“Mangsa yang bimbang kejadian buruk berlaku cuba meleraikan pergaduhan itu, sebelum ditolak suspek hingga terjatuh dan patah jari kelingking.

“Susulan kejadian, mangsa membuat laporan di Balai Polis Batu Rakit untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu Asisten Komisioner Razmi Mohd Gunnos ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian.

Katanya, kes itu masih dalam siasatan pihaknya, manakala suspek dilepaskan dengan jaminan polis selepas kenyataannya diambil.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Februari 2020 @ 4:18 PM