AKSI dua remaja melakukan aksi wheelie. FOTO Ihsan PDRM.
AKSI dua remaja melakukan aksi wheelie. FOTO Ihsan PDRM.
Nazdy Harun


Kuala Terengganu: Tindakan dua remaja melakukan aksi 'wheelie' membawa padah apabila mereka berjaya ditahan Skuad 42 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri, Superintendan Ismail Man berkata, kedua-duanya ditahan selepas pegawai JSPT bersama Skuad 42 IPK Terengganu melakukan risikan dan pemantauan di sekitar Jalan Kuala Nerus, pada 2.30 pagi.

Menurutnya, pasukan terbabit melihat sebuah motosikal EX5 bersama pemboncengnya melakukan aksi mengangkat tayar hadapan 'wheelie' di kawasan operasi pada jarak kira-kira 500 meter.

"Mereka kemudian ditahan pada 2.39 pagi ketika kedua-duanya memberhentikan motosikal di hadapan sebuah rumah di Kampung Telok Ketapang.

"Suspek sebelum itu diterangkan sebab mengapa mereka ditahan dan suspek kemudian mengakui faham kesalahan yang dilakukan," katanya.

Menurutnya, suspek kemudian dibawa ke Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu untuk menjalani ujian saringan air kencing dan hasil ujian air kencing mendapati suspek negatif dadah.

Katanya, suspek yang ditahan berusia 15 dan 17 tahun dan kedua-duanya berasal dari Kuantan, Pahang.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, dan motosikal berkenaan turut disita mengikut seksyen sama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Mei 2022 @ 7:31 PM