AKSI remaja yang sempat dirakam ketika Ops Samseng Jalanan dilakukan di sekitar Kuala Terengganu dan Kuala Nerus. FOTO ihsan Polis
AKSI remaja yang sempat dirakam ketika Ops Samseng Jalanan dilakukan di sekitar Kuala Terengganu dan Kuala Nerus. FOTO ihsan Polis
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Tindakan tiga remaja lelaki termasuk dua pelajar Tingkatan Lima 'bersiar-siar' dengan menunggang motosikal sambil membuat aksi berbahaya di Kuala Nerus membawa padah apabila ditahan dalam Ops Samseng Jalanan.

Penunggang motosikal berusia 20 tahun ditahan di Padang Kemunting, manakala dua lagi remaja berusia 17 tahun ditahan di Seberang Takir dekat Kuala Nerus dalam operasi selama dua hari bermula kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Terengganu Superintendan Abd Razak Hasan berkata, operasi di sekitar daerah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus dilakukan Skuad 42 dalam usaha membanteras aktiviti mat rempit di negeri ini.

"Dalam operasi pertama di Padang Kemunting, Kuala Nerus, kita menahan penunggang motosikal berusia 20 tahun yang melakukan aksi berbahaya iaitu 'wheelie' kira-kira 5 petang kelmarin.

"Operasi seterusnya dilakukan di Seberang Takir, Kuala Nerus pada 5 petang semalam yang membawa kepada penahanan penunggang dan pembonceng berusia 17 tahun yang turut melakukan aksi berbahaya.

"Mereka seolah-olah tiada arah apabila dilihat melalui kawasan operasi dengan menunggang motosikal secara berbahaya," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Abd Razak berkata, mereka ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, manakala sebuah motosikal disita mengikut Seksyen 64 akta sama.

Katanya, sebanyak 19 saman turut dikeluarkan membabitkan pelbagai kesalahan seperti ubah suai aksesori, nombor pendaftaran dan tiada lesen memandu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Jun 2021 @ 4:33 PM