TERTUDUH, Muslin Mamat, 49, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu kerana meliwat remaja lelaki berusia 17 tahun pada 2014. FOTO Syafiq Ambak
TERTUDUH, Muslin Mamat, 49, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu kerana meliwat remaja lelaki berusia 17 tahun pada 2014. FOTO Syafiq Ambak
Zatul Iffah Zolkiply


BILAL mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini kerana meliwat remaja lelaki bawah umur pada 2014.

Tertuduh, Muslin Mamat, 49, dari Batu Rakit, Kuala Nerus, mohon dibicarakan ketika pertuduhan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan kerana melakukan persetubuhan luar tabii, dibacakan di hadapan Hakim Azman Mustapha.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa meliwat mangsa yang ketika kejadian berusia 17 tahun di sebuah rumah di Batu Rakit, Kuala Nerus, 11.30 malam pada 9 Ogos 2014.

Difahamkan, keluarga mangsa membenarkan remaja terbabit tinggal bersama tertuduh kerana tertuduh berjanji boleh mengubah kelakuan mangsa yang nakal.

Mangsa dikatakan banyak berubah sejak tinggal bersama tertuduh namun, keluarganya membuat laporan polis kerana curiga mangsa enggan pulang ke rumah sebelum membongkar perbuatan tidak bermoral tertuduh.

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 28 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.

Tiada sebarang jaminan ditawarkan kepada tertuduh.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Syairah Mohamad Razali manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Disember 2017 @ 8:25 PM