GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Asrol Awang


Kuantan: Seramai 691,258 penduduk atau 58.8 peratus populasi dewasa di Pahang sudah menerima dos lengkap vaksin Covid-19, setakat semalam.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pahang, Datuk Dr Nor Azimi Yunus berkata, selain itu, seramai 960,126 penduduk atau 81.7 peratus populasi dewasa sudah menerima satu dos.

Katanya, seramai 26,048 orang pula yang sudah berdaftar sedang menunggu untuk menerima dos pertama.

"Namun masih ada 189,626 orang atau 16.1 peratus yang belum berdaftar," katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebook (FB) miliknya, hari ini.

Dr Nor Azimi berkata, berdasarkan bekalan vaksin yang diterima, pihaknya mensasarkan 100 peratus populasi dewasa dapat disuntik vaksin Covid-19 menjelang akhir bulan ini.

"Banyak strategi disusun oleh semua daerah bagi merancakkan proses vaksinasi.

"Peluang dan ruang untuk mendapat suntikan terbuka luas dan diharapkan warga Pahang yang masih belum mendapatkan suntikan supaya berbuat demikian," katanya.

Beliau berkata, program vaksinasi remaja yang mempunyai penyakit sudah bermula di lima hospital di Pahang, semalam.

Katanya, lima hospital berkenaan ialah Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini; Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAH), Temerloh; Hospital Lipis, Hospital Pekan dan Hospital Bentong.

"Bermula 20 September ini, program vaksinasi akan diperluaskan kepada semua pelajar berusia 16 dan 17 tahun.

"Penyelarasan sedang dibuat bersama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pahang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 September 2021 @ 2:55 PM