Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mensasarkan tiga juta remaja di seluruh negara menerima vaksin Covid-19 sebelum pembukaan sekolah bagi sesi 2022.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, sasaran itu sekali gus adalah Petunjuk Prestasi Utama (KPI) kementerian itu.

Katanya, pemberian vaksin kepada remaja akan cuba diselesaikan sebelum pembukaan sekolah pada Januari tahun depan.

"Esok Menteri Pendidikan akan mengumumkan pembukaan sekolah secara berperingkat untuk tahun ini.

"Sejajar dengan pengumuman itu, program vaksinasi turut akan dijalankan serentak," katanya pada sidang media di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini, hari ini.

KHAIRY Jamaluddin (kanan) berbual bersama Chow Kon Yeow ketika hadir sidang media. FOTO Mikail Ong
KHAIRY Jamaluddin (kanan) berbual bersama Chow Kon Yeow ketika hadir sidang media. FOTO Mikail Ong

Terdahulu, Khairy melakukan lawatan kerja di Pulau Pinang bagi membincangkan strategi kesihatan awam dan vaksinasi di negeri itu.

Hadir sama, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow; Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng serta Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim.

Menurut Khairy, proses vaksinasi kepada remaja di Pulau Pinang dijangka bermula pada hujung bulan ini.

Katanya, seramai 130,000 remaja di negeri ini akan menerima vaksin dan proses pemberian dilakukan di sekolah.

"Murid akan dipanggil mengikut keutamaan yang kita kenal pasti dan mereka akan hadir ke sekolah dengan ditemani ibu bapa masing-masing bagi mendapatkan suntikan vaksin.

"Jadual bagi pemberian vaksin kepada remaja di negeri lain akan dimaklumkan minggu depan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 September 2021 @ 3:33 PM