Zuhainy Zulkiffli


Bayan Lepas: Kerajaan Pusat akan melancarkan program pemberian vaksinasi Covid-19 dalam kalangan pekerja di sektor perkilangan dan perindustrian dalam tempoh dua minggu lagi.

Bagi Pulau Pinang, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, program itu dirancang dilaksanakan menerusi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di kawasan perindustrian Batu Kawan dan Bayan Lepas di sini.

Beliau berkata, pihaknya sudah berbincang dengan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengenai perkara itu dua hari lalu.

"Inisiatif itu adalah bagi memudahkan pekerja di sektor berkenaan menerima suntikan vaksin.

"Kita akan laksanakan dalam tempoh dua minggu lagi," katanya kepada media ketika meninjau persediaan PPV di Pusat Konvensyen Setia SPICE.

Hadir sama Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.

Pusat konvensyen itu menjadi PPV mega pertama di Pulau Pinang dan akan mula beroperasi pada 7 Jun ini dengan sasaran pemberian vaksin kepada antara 1,000 hingga 3,000 orang sehari pada peringkat awal pelaksanaannya.

Mengulas lanjut, Khairy Jamaluddin berkata, pihaknya menjangka akan meningkatkan penghantaran bekalan vaksin kepada Pulau Pinang pada Julai dan Ogos ini bagi memastikan program pemberian vaksin kepada penduduk negeri ini dapat dipercepatkan.

Berikutan itu, beberapa PPV awam akan dibuka minggu depan termasuk di Tapak Pesta, Sungai Nibong di sini, selain tiga PPV hospital swasta yang akan turut beroperasi 7 Jun iaitu Hospital KPJ Penang, Hospital Pantai dan Hospital Lim Wah Ee.

"Kita akan meneliti cadangan pembukaan pusat vaksin secara pandu lalu termasuk yang dicadangkan bagi dibuka di Universiti Sains Malaysia (USM) di sini.

"Namun terdapat garis panduan tertentu bagi pembukaan pusat itu termasuk memastikan tidak menyebabkan berlakunya kesesakan trafik memandangkan mereka yang menerima suntikan masih perlu dipantau sekurang-kurangnya dalam tempoh 15 minit," katanya.

Berhubung permintaan kerajaan negeri dan hospital swasta bagi membeli vaksin sendiri, Khairy Jamaluddin sekali lagi menegaskan, Kerajaan Pusat tidak menghalang mana-mana pihak bagi berbuat demikian.

Katanya, kebenaran itu termasuk bagi membawa masuk mana-mana vaksin yang sudah diberi kelulusan oleh Agensi Regulatori Farmaseutikal Kebangsaan (NPRA).

"Cuma bagi tiga jenis vaksin yang digunakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ketika ini iaitu Pfizer, AstraZeneca dan Sinovac, bekalan vaksin ini perlu dipenuhi kepada Kerajaan Pusat terlebih dahulu sebelum boleh dibeli pihak lain," katanya.

Khairy menjawab soalan media  ketika sidang media di Setia SPICE Arena, Bayan Baru, Pulau Pinang hari ini. FOTO MIKAIL ONG
Khairy menjawab soalan media ketika sidang media di Setia SPICE Arena, Bayan Baru, Pulau Pinang hari ini. FOTO MIKAIL ONG

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Jun 2021 @ 2:25 PM