Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Remaja termasuk pelajar berusia 16 hingga 17 tahun dibenarkan menerima suntikan vaksin Covid-19 secara 'walk-in' di pusat pemberian vaksin (PPV) seluruh Pulau Pinang bermula jam 2 petang, hari ini.

Sementara, vaksinasi bagi individu berusia 12 hingga 15 tahun adalah mengikut janji temu menerusi aplikasi MySejahtera dan dinasihati supaya tidak 'walk in' di mana-mana PPV bagi mengelakkan kesesakan.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata, menerusi Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP), sehingga 29 September, daripada 37,875 remaja berusia 16 hingga 17 tahun yang didaftar melalui portal Vaksin Anakku, seramai 32,876 orang atau 86.8 peratus sudah menerima suntikan vaksin.

Katanya, bagi individu berusia 12 hingga 15 tahun pula, daripada jumlah keseluruhan 80,698 orang yang berdaftar menerusi portal sama, seramai 8,312 orang atau 10.3 peratus sudah disuntik.

PELAJAR menerima vaksin Covid-19 dos pertama pada Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja di PPV Dewan Canselor MSU, Shah Alam. FOTO Faiz Anuar.
PELAJAR menerima vaksin Covid-19 dos pertama pada Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja di PPV Dewan Canselor MSU, Shah Alam. FOTO Faiz Anuar.

"Bagi mempercepatkan kadar vaksinasi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Remaja (PICK-Remaja) peringkat negeri Pulau Pinang, pengoperasian dua PPV iaitu SPICE Convention Centre (SPICE CC) dan PPV SP Arena kini sudah dilanjutkan kepada jam 9 malam.

"Perancangan tambahan juga bakal membabitkan PPV 'outreach' ke sekolah atau kawasan luar bandar di seluruh negeri ini," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 September 2021 @ 1:11 PM