BERNAMA

Georgetown: Kakitangan awam kerajaan negeri dan Persekutuan yang dibayar gaji oleh kerajaan negeri Pulau Pinang bakal menerima bayaran bantuan khas kewangan (BKK) akhir tahun bersamaan setengah bulan gaji atau minimum RM1,200.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata bayaran itu membabitkan 3,920 penjawat awam negeri dengan implikasi kewangan berjumlah RM6.13 juta.

"Kerajaan negeri amat bertuah kerana memiliki barisan penjawat awam yang berdedikasi, berintegriti dan komited untuk memastikan dasar-dasar kerajaan negeri dilaksanakan dengan jayanya," katanya ketika membentangkan Bajet 2023 Pulau Pinang pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Katanya pemberian RM300 seorang juga akan disalurkan kepada penyelia dan guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), guru Sekolah Rendah Agama Rakyat, guru Sekolah Menengah Agama Rakyat dan guru serta staf Sekolah Persendirian Cina.

Selain itu, RM200 seorang akan diberikan kepada guru tahfiz, guru pondok dan guru tadika Islam negeri, membabitkan tambahan perbelanjaan berjumlah RM900,000.

"Semua bayaran BKK dan pemberian ini akan dibuat pada bulan Disember 2022," katanya.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow ketika ditemuramah selepas tangguh  Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Ke-14 di Dewan Undangan Negeri, Lebuh Light, Georgetown di sini, hari ini. FOTO MIKAIL ONG
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow ketika ditemuramah selepas tangguh Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Ke-14 di Dewan Undangan Negeri, Lebuh Light, Georgetown di sini, hari ini. FOTO MIKAIL ONG

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 November 2022 @ 2:42 PM