Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: Kerajaan Pulau Pinang tidak akan meneruskan cadangan membeli sendiri vaksin Covid-19 berikutan diberi jaminan oleh kerajaan pusat untuk menambah bekalan vaksin sekurang-kurangnya 500,000 dos dalam masa terdekat.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin memberi komitmen sasaran pemberian vaksin kepada penduduk Pulau Pinang ketika lawatannya di negeri ini, minggu lalu.

"Berdasarkan kepada jaminan itu, maka soal pembelian sendiri vaksin berkenaan bukan lagi menjadi isu.

"Ini kerana kita akan bergantung sepenuhnya kepada kerajaan pusat bagi memastikan bekalan vaksin kepada Pulau Pinang mencukupi dan matlamat semua penduduk menerima vaksin dapat dicapai menjelang Oktober depan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat hari pertama operasi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mega di Setia Spice Arena, Bayan Baru, di sini, hari ini.

Turut hadir, Penasihat Khas kepada Perdana Menteri mengenai Kesihatan Awam, Tan Sri Dr Jemilah Mahmood.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow menjawab soalan media ketika sidang media di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mega di Setia SPICE Arena, Bayan Baru. FOTO MIKAIL ONG
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow menjawab soalan media ketika sidang media di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mega di Setia SPICE Arena, Bayan Baru. FOTO MIKAIL ONG

Kon Yeow berkata, kerajaan negeri kini menyasarkan pemberian vaksin kepada 15,000 hingga 20,000 penduduk sehari berbanding 10,000 hingga 15,000 sehari seperti ditetapkan ketika ini.

Katanya, peningkatan jumlah penerima vaksin itu juga bagi membolehkan sasaran imuniti kelompok dapat dicapai pada Oktober depan atau mungkin lebih awal iaitu pada Ogos atau September.

"Keutamaan kita ketika ini juga daripada segi memastikan kemampuan PPV dan tenaga kerja adalah mencukupi supaya matlamat harian pemberian vaksin ini dapat dicapai," katanya.

Selain PPV awam, sebanyak enam hospital swasta turut dijadikan PPV bermula hari ini dengan kapasiti antara 50 hingga 200 penduduk sehari bergantung kepada kapasiti dan keupayaan.

Bagi PPV klinik pula, ketika ini sebanyak 13 klinik sudah mendaftar.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Jun 2021 @ 2:24 PM