Audrey Dermawan


Georgetown: Kadar penggunaan katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) di negeri ini hampir mencecah 100 peratus susulan peningkatan mendadak kes Covid-19, beberapa minggu kebelakangan ini.

Kes positif Covid-19 di negeri ini direkodkan antara 600 hingga 700 kes minggu lalu.

Semalam sahaja, Pulau Pinang mencatatkan 867 kes positif Covid-19, yang tertinggi sejak wabak itu dikesan Mac tahun lalu.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata, jumlah kes dijangka terus meningkat dalam beberapa minggu akan datang, sekali gus meningkatkan penggunaan katil di ICU.

"Jadi, kita meminta Kementerian Kesihatan (KKM) membantu Jabatan Kesihatan Negeri untuk menyusun semula kemudahan penjagaan kesihatan negeri sebagai persediaan berdepan peningkatan kes Covid-19.

"Pengarah Jabatan Kesihatan negeri akan mengemukakan rancangan untuk tujuan itu hari ini.

"Sebelum ini, Pulau Pinang mencatatkan antara 100 hingga 200 kes sehari, namun jumlahnya kini meningkat antara 600 hingga 800 sehari sekali gus membebankan kemudahan penjagaan kesihatan kami.

"Disebabkan itu, ruang di hospital di negeri ini perlu diubahsuai untuk menampung pesakit Covid-19," katanya ketika melawat program Penang Saring Covid-19 (PSC-19) di Komtar, hari ini.

Baru-baru ini, jabatan pesakit luar di Hospital Pulau Pinang sudah diubah kepada wad rawatan awal dan pemerhatian pesakit Covid-19 susulan peningkatan kes.

Bulan lalu, Hospital Bukit Mertajam dijadikan hospital hibrid Covid-19.

 Chow Kon Yeow pada sidang media ketika hadir meninjau program Penang Saring Covid-19 (PSC-19) di perkarangan Komtar, Jalan Magazine, hari ini. FOTO MIKAIL ONG
Chow Kon Yeow pada sidang media ketika hadir meninjau program Penang Saring Covid-19 (PSC-19) di perkarangan Komtar, Jalan Magazine, hari ini. FOTO MIKAIL ONG

Chow berkata, ketika ini Pulau Pinang mempunyai lebih 40 kluster Covid-19, dengan majoritinya membabitkan tempat kerja.

"Pulau Pinang turut merekodkan kes pertama positif Covid-19 membabitkan varian Delta baru-baru ini, dan pihak berkuasa kesihatan mungkin memerlukan masa untuk menentukan varian Covid-19 di negeri ini.

"Jika kita berjaya mengesan jenis varian ini dengan cepat, tindakan segera boleh diambil untuk mengekang penularannya," katanya.

Dalam perkembangan sama, Chow berkata, beliau berharap bekalan vaksin ke negeri itu bulan ini diperoleh segera, bagi mempercepatkan proses vaksinasi yang sedang berlangsung.

Katanya, Pulau Pinang sudah menerima 700,000 dos vaksin Covid-19 bulan lalu.

"Bagaimanapun, bagi bulan ini, Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin Covid-19 (JKJAV) memaklumkan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi memerlukan masa untuk melihat semula bekalan vaksin untuk negeri dalam beberapa minggu akan datang.

"Kami berharap bekalan dapat diagihkan ke negeri dengan segera supaya tidak mengganggu kelancaran proses imunisasi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Ogos 2021 @ 4:12 PM