FOTO ARKIB NSTP
FOTO ARKIB NSTP
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Harga sumber protein seperti ikan dan daging yang mahal menyebabkan pengguna beralih kepada ayam sebagai alternatif, namun harganya yang naik mendadak sejak beberapa hari lalu terus menghimpit pengguna.

Justeru, Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd Yusof Abdul Rahman meminta kerajaan menetapkan satu harga siling ayam untuk sepanjang tahun dan bukan hanya di musim perayaan.

Katanya, permintaan ayam yang tinggi berlaku disebabkan pengguna terpaksa memilih sumber protein berkenaan ekoran harga ikan dan daging kini terus kekal tinggi.

"Kenaikan harga ayam bukan perkara baharu kerana ia akan berlaku saban tahun dengan alasan yang sama oleh penternak.

"Peniaga juga terhimpit jika di peringkat penternak menjual pada harga tinggi. Harga siling sepanjang tahun perlu ditetapkan dan bukan hanya tertumpu ketika musim perayaan saja," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Beliau berkata, pengguna tidak mempunyai pilihan selain membeli ayam dan ini mungkin digunakan pihak tertentu untuk menaikkan bagi mendapat keuntungan lebih.

Tambahnya, penternak juga perlu memastikan bahan mentah dan sumber tenaga kerja stabil supaya tidak berlaku kenaikan harga mendadak.

Harga ayam di beberapa lokasi seluruh negara dilaporkan naik sehingga RM10 sekilogram sejak beberapa hari lalu ternyata mengejutkan pengguna.

Penternak dan pengeluar memaklumkan kenaikan harga dedak, anak ayam dan sumber tenaga pekerja asing menjadi punca kenaikan berlaku.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 September 2021 @ 12:48 PM