GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kajang: Kenaikan mendadak bahan mentah memberi tempias kepada peniaga yang berdepan masalah kekurangan pelanggan sejak beberapa minggu lalu.

Tinjauan di Pasar Besar Kajang hari ini, mendapati keadaan pasar utama di Hulu Langat itu lengang.

Situasi itu diakui peniaga ikan dikenali sebagai Choon yang mendakwa kenaikan harga mempengaruhi kehadiran pelanggan.

Menurutnya, keadaan itu sudah pasti merunsingkan peniaga kerana bahan jualan tidak terjual dan mereka bakal berdepan kerugian berganda.

"Pelanggan semakin berkurangan mungkin kerana kenaikan harga bahan mentah yang dijual.

"Kami juga tiada pilihan kerana membeli bahan mentah daripada pembekal pada harga yang sememangnya tinggi," katanya ditemui.

Sementara itu, peniaga sayur mahu dikenali sebagai Zuzi berkata, kenaikan harga sayuran berlaku sebaik sektor ekonomi kembali dibuka beberapa bulan lalu.

Katanya, keadaan ini menghimpit peniaga selain terdapat persepsi mereka sengaja menaikkan harga bahan jualan kepada pengguna.

"Saya beli sayur daripada pembekal di pasar borong yang sememangnya sudah menjual pada harga yang tinggi sejak kebelakangan ini.

"Bagi mengelak kerugian lebih besar kerana kekurangan pelanggan, saya hanya beli dalam kuantiti kecil.

"Malah saya menyimpan resit pembelian daripada pemborong sebagai bukti kenaikan harga jika ada pemeriksaan dijalankan pihak berkuasa," katanya. Tambahnya, peniaga dan pengguna adalah golongan tersepit disebalik 'permainan' pembekal dan pemborong menaikkan harga dengan pelbagai alasan.

Katanya, kerajaan perlu melihat akar masalah ini supaya rantaian pembekalan dan jualan bahan mentah dapat dikawal sebaik mungkin.

Sejak kebelakangan ini, pengguna merungut susulan kenaikan mendadak bahan mentah seperti sayur, telur ayam, ayam dan bahan mentah lain.

Cuaca dan kekurangan pekerja kini dijadikan alasan pengeluar dan pembekal untuk menaikkan harga.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 November 2021 @ 12:47 PM