GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Harga bahan mentah yang naik mendadak sejak akhir-akhir ini ternyata memberi tamparan hebat kepada peniaga dan pengguna.

Lebih membimbangkan, harga bahan mentah yang naik dalam kadar yang tinggi hanya akan turun beberapa puluh sen saja sebaik 'ditegur' kerajaan.

Situasi ini menyebabkan banyak pihak terkesan dalam suasana ekonomi yang baru menuju pemulihan pasca Covid-19.

Presiden Pertubuhan Usahawan Islamiah Malaysia Tengku Imran Tengku Zainal Abidin berkata, cuaca dan kekurangan tenaga kerja kini menjadi alasan utama kenaikan harga bahan mentah seperti ayam, sayuran dan telur sejak beberapa minggu lalu.

Menurutnya, peniaga pasti terhimpit jika menjual makanan pada harga sama sedangkan bahan mentah yang dibeli dari pembekal melambung beberapa kali ganda.

"Kami terpaksa menaikkan harga makanan walaupun sedar pasti pelanggan akan terkesan dengan kenaikan itu.

"Namun bagaimana pula nasib kami yang membeli bahan mentah pada harga yang sudah tinggi daripada pembekal," katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata, kerajaan perlu hapuskan monopoli bahan mentah oleh syarikat tertentu kerana mereka akan mengawal harga sesuka hati.

Katanya, sebagai contoh ayam naik beberapa ringgit baru-baru ini namun nisbah penurunannya pula hanya beberapa puluh sen.

"Ia jauh daripada apa yang diharapkan peniaga dan pengguna kerana kenaikan serta penurunan tidak seimbang.

"Ekonomi baru hendak pulih dan kenaikan mendadak ini pasti menekan rantaian pembelian bahan mentah terutama peniaga dan pengguna," katanya.

Katanya, skim kawalan harga ini perlu dibuat berterusan tanpa mengikut musim perayaan kerana pembekal kini dilihat mengawal harga tidak mengira masa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 November 2021 @ 4:30 PM