HARGA ayam dan telur banyak ditentukan oleh harga makanan ayam. FOTO Arkib NSTP
HARGA ayam dan telur banyak ditentukan oleh harga makanan ayam. FOTO Arkib NSTP
Nazarali Saeril

Ada yang kata ayam mentah serta telur ayam kini lebih bernilai daripada emas kerana sukar untuk diperoleh, khasnya ketika musim perayaan.

Ada juga yang salahkan penternak, pengilang, peniaga selain kerajaan. Namun, selain menuding jari, tidak ramai yang ambil peduli rantaian punca kekurangan bekalan ini atau kenaikan harganya.

Ikuti wawancara Pakar Ekonomi PROF EMERITUS DR BARJOYAI BARDAI dengan Pengarang Berita NAZARALI SAERIL bagi mengulas isu ini.

Kenaikan harga ayam mentah serta telur ayam. Apa kaitannya dengan ekonomi negara secara keseluruhan?

Harga ayam dan telur banyak ditentukan oleh harga makanan ayam.

Ini kerana makanan ayam mengakaunkan 74 peratus daripada kos pengeluaran ayam.

Pengeluar ayam di Malaysia adalah salah satu industri yang paling cekap di Malaysia dengan kos overhead yang rendah dan produktiviti yang tinggi.

Masalahnya ialah hampir 94 peratus bahan mentah untuk memproses makanan ayam adalah diimport - 55 peratus jagung dan 25 peratus kacang soya.

Hanya enam peratus bahan tempatan terdiri daripada dedak padi dan sisa sawit (palm kernal).

Jagung dan kacang soya dibeli dalam dolar Amerika Syarikat (AS$) dari Amerika Syarikat (AS), negara Amerika Selatan dan negara Asia.

Walaupun harga jagung dan soya adalah di peringkat paling rendah kini, tetapi kelemahan ringgit Malaysia (RM) menyebabkan secara keseluruhan, harga bahan ini di dalam RM meningkat kira-kira antara 15 hingga 30 peratus.

Ayam dan telur ayam adalah sumber protein yang penting di Malaysia.

Secara purata, isi rumah di Malaysia memakan 48 kilogram (kg) daging ayam setiap tahun atau empat kilogram sebulan (dua ekor).

Jika kita belah ayam menjadi 12 bahagian seekor, setiap kita memakan satu per lima belah bahagian ayam setiap hari (ini agak rendah).

Sebenarnya, isi rumah di Malaysia memakan 50kg ikan, 19kg babi, tujuh kg lembu dan 1.15kg kambing selain 330 telur ayam (hampir sebiji setiap hari) bagi setahun.

Isi rumah kita masih lebih suka makan ikan daripada ayam.

Mengapa protein penting kepada isi rumah di Malaysia? Ini kerana protein membantu sel untuk pertumbuhan badan.

Pada 1960-an, pengkaji seperti Prof Ungku Aziz (Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid) menekankan bahawa orang Malaysia sangat kerdil berbanding dengan bangsa Eropah, malah bangsa Jepun dan Korea kerana kita kurang makan protein dan lebih banyak makan karbohidrat.

Isunya, apakah kerajaan perlu mengawal harga ayam dan telur untuk memastikan isi rumah mendapat protein yang cukup pada harga yang munasabah berbanding dengan pendapatan mereka?

Pada harga kawalan RM8.90 sekilo (bermula semalam hingga 5 Jun ini), setiap isi rumah perlu berbelanja kira-kira RM37 setahun.

Bagi sebuah keluarga lima orang, kos ayam kira-kira RM190 setahun selain lebih RM90 setiap orang untuk telur ayam atau kira-kira RM500 bagi setiap keluarga.

Masalahnya ialah, bukan penternak ayam yang mengambil keuntungan lebih, tetapi kos pengeluaran meningkat menyebabkan mereka mengurangkan pengeluaran bila merasa tertekan disebabkan kos yang meningkat.

Jadi, ayam memang tidak ada di pasaran. Kawalan harga hanya menyebabkan situasi semakin serius di pasaran.

Keperluan negara ialah 3,762 tan atau 2.09 juta ekor ayam sehari atau 113,220 tan sebulan.

Kini bekalan berkurang lebih 18 peratus di pasaran.

Sebagai tindak balas, kerajaan mengeluarkan lesen mengimport melalui Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) untuk membawa masuk 10,000 tan (5.5 juta ekor) ayam setiap bulan.

Beberapa penganalisis pasaran melihat ini mungkin tidak menyelesaikan masalah kerana ada pihak walaupun berupaya mengimport ayam beku pada harga kurang daripada RM6 sekilogram namun tetap menjualnya pada harga menghampiri RM9 sekilogram.

Kerajaan mengumumkan bahawa antara 200 hingga 300 kontena ayam beku akan sampai selepas sambutan Tahun Baharu Cina.

Kita tunggu apakah harga akan turun mendadak.

Pengurangan 20 sen sekilogram bagi harga runcit ayam mentah. Apa signifikannya kepada penternak, peniaga, masyarakat?

Pengurangan harga ayam sebanyak 20 sen sebenarnya menekan kedudukan penternak ayam.

Kerana terhimpit antara kos yang meningkat dan harga yang menurun, mereka tiada pilihan selain terpaksa mengurangkan pengeluaran bagi menurunkan kerugian keseluruhan operasi.

Masalah penternak ialah, walaupun mereka cekap daripada segi operasi namun mereka sangat bergantung kepada pengimportan bahan makanan menyebabkan industri ini mempunyai nilai tambah yang sangat kecil.

Gantian bahan import perlu didapatkan segera bagi jagung dan soya.

Atau, bolehkah kita mewujudkan industri penanaman jagung dan soya?

Bolehkah kita ganti soya dengan ubi konjak atau daun kelor atau murunggai misalnya, sebagai sumber protein yang tinggi?

Peniaga runcit di pasaran juga tertekan kerana pengguna menuduh mereka mengambil keuntungan lebih, walhal mereka menerima bekalan pada harga yang meningkat.

Ada peruncit yang lebih rela tidak menjual ayam daripada dituduh mengambil untung berlebihan.

Persoalannya, perlukah pengguna juga membuat tindakan proaktif?

Cara yang mudah untuk pengguna bertindak ialah untuk berhenti memakan ayam buat sementara.

Pengguna boleh mencari sumber protein lain seperti ikan dan sayuran, tauhu dan tempe.

Pengurangan tekanan di pasaran akan mewaraskan lagi tindakan pengimport dan pemborong bagi menurunkan harga.

Satu papan telur pernah mengalami kenaikan sehingga RM3. Bagaimana mahu mengatasi masalah kenaikan harga ini?

Harga purata telur kini ialah 30 sen sebiji. Isi rumah di Malaysia memang sangat suka makan telur.

Setiap seorang daripada kita makan 330 telur setahun. Ia sepatutnya merupakan sumber protein yang paling murah.

Namun kenaikan harga boleh menyebabkan harga telur ayam tidak munasabah berbanding dengan pendapatan keluarga.

Setiap keluarga membelanjakan hampir RM500 setahun untuk makan telur.

Pengguna boleh mengurangkan penggunaan telur dengan mencampurkan daun murunggai dalam telur dadar seperti yang dilakukan di India, Cina, Vietnam dan Indonesia.

Serbuk murunggai berwarna hijau boleh di import dari India pada harga yang sangat memadai.

Malaysia memiliki tanah yang luas yang sesuai untuk penternakan selain tanaman makanan bagi ternakan. Adakah tanah ini tidak diguna sebaiknya sehingga menyebabkan berlakunya isu import makanan?

Masalah kita ialah cuaca dan persekitaran di Malaysia tidak begitu sesuai untuk penanaman jagung dan kacang soya secara besar-besaran.

Malaysia memerlukan 2.04 juta tan metrik makanan ayam dengan 1.122 juta tan jagung dan 510,000 tan kacang soya.

Ia sudah dicuba, tetapi kadar hasilnya tidak berbaloi berbanding dengan kadar hasil daripada tanaman kelapa sawit.

Setiap kali tiba musim perayaan, cuti panjang atau bencana, pasti harga barangan utama seperti ayam mentah, telur ayam selain minyak masak paket 'meroket'. Mengapa ia berlaku, bagaimana mahu mengurangkan masalah ini?

Di Malaysia, beberapa industri dikawal oleh pembekal yang menguasai pasaran.

Mereka mengambil peluang musim perayaan untuk meraih kehilangan keuntungan di musim lain. Mereka adalah pemain strategi perniagaan yang bijak.

Di dalam strategi 'keselamatan makanan negara', kita perlu memikirkan bagaimana untuk memastikan industri makanan asas seperti padi, gula, minyak makan, lembu, kambing, susu, ayam, telur ayam dan ikan ini boleh distabilkan serta terus berupaya membekal kepada semua golongan pengguna pada harga munasabah.

Penternak mahu harga ayam dinaikkan kerana kos makanan tinggi, pengguna mahu harga diturunkan kerana ekonomi keluarga masih belum pulih. Apa yang boleh dilakukan oleh kerajaan yang sentiasa berdepan isu ini?

Di dalam sebuah ekonomi pasaran bebas, sebenarnya, peranan kerajaan hanyalah sebagai pemantau bagi memastikan pasaran yang cekap wujud.

Kegiatan pencatutan dan pengambilan untung berlebihan perlu menjadi tunggak utama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Kementerian perlu sepanjang masa menyelidik dan menyiasat perjalanan pasaran bagi memastikan bukan sahaja harganya sesuai, tetapi lebih penting, memastikan rakyat mendapat bekalan makanan yang sesuai.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Februari 2022 @ 7:30 AM