Zaid Salim


Chukai: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan terus melaksanakan skim kawalan harga barang keperluan selepas Aidilfitri sekiranya berlaku kenaikan harga mendadak.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, pihaknya memberi jaminan akan terus memberi komitmen bagi memastikan harga barang kekal stabil dan pengguna tidak teraniaya.

Beliau berkata, tindakan itu perlu diambil sekiranya harga barangan keperluan seperti ayam, daging lembu dan ikan kembung terus melonjak tinggi selepas Aidilfitri.

"Kami prihatin dengan kebimbangan pengguna yang risau harga barangan keperluan terutama ayam akan naik semula selepas Aidilfitri ini.

"Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Fasa kedua bermula hari ini hingga 20 Mei, namun jika berlaku kenaikan harga barang mendadak selepas perayaan, tidak mustahil untuk kerajaan meneruskan skim harga barangan berkenaan," katanya selepas membuat pemantauan harga barang sempena pelaksanaan fasa dua SHMMP Aidilfitri di Pasaraya Sabasun Kijal, dekat sini, hari ini.

Rosol berkata, walaupun bukan musim perayaan, kerajaan mempunyai kuasa untuk terus mengawal harga siling barangan keperluan demi kebajikan pengguna sekiranya ada kenaikan harga melampau.

Beliau berkata, harga barang dikawal itu bukan hanya membabitkan ayam dan daging, tetapi semua barang keperluan makanan.

"Skim kawalan harga barang bertujuan menstabilkan harga barang selain memastikan pengguna tidak teraniaya dan bukan untuk menyekat keuntungan peniaga dan pemborong.

"Sebelum melaksanakan skim kawalan harga barang, kami akan melaksanakan advokasi dengan peladang, pengilang dan pemborong untuk mendapat harga yang terbaik," katanya.

Rosol berkata, menerusi SHMMP fasa pertama bermula 21 April lalu, KPDNHEP memeriksa 29,170 premis borong dan runcit di seluruh negara dan 203 kes dikesan melakukan pelanggaran skim berkenaan.

Beliau berkata, daripada jumlah kes itu, sebanyak RM30,050 kompaun dikeluarkan membabitkan jumlah sitaan RM21,067.87.

ROSOL (tiga kanan) memantau harga ayam di pasar raya Sabasun Kijal. FOTO Ghazali Kori
ROSOL (tiga kanan) memantau harga ayam di pasar raya Sabasun Kijal. FOTO Ghazali Kori

"Kesalahan paling tinggi adalah tiada tanda harga iaitu 90 kes, diikuti gagal menggunakan tanda harga khas (60 kes) dan 53 kes kesalahan menjual melebihi harga maksimum membabitkan 10 pemborong dan 43 kes peruncit.

"Daripada 53 kes itu, 26 kes membabitkan kesalahan menjual melebihi harga maksimum, manakala 26 kes lagi membabitkan pemborong dan peniaga runcit ayam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Mei 2021 @ 6:05 PM