Gambar Hiasan
Gambar Hiasan
Asrol Awang


Kuantan: Kenaikan harga ayam secara mendadak turut tidak terkecuali berlaku di daerah ini apabila dijual pada harga RM10.30 sekilogram.

Tinjauan di Pasar Besar Kuantan, di sini, hari ini mendapati pengguna terkejut kerana harga ayam menunjukkan peningkatan ketara berbanding pada minggu lalu.

Suri rumah, Haslinda Arshad, 51, dari Indera Mahkota, di sini, berkata dia yang terkejut mendapati kenaikan harga ayam itu tidak munasabah.

Menurutnya, isu kenaikan harga ayam itu perlu ditangani kerajaan bagi memastikan harganya kembali stabil.

"Saya harap kerajaan melalui Kementerian perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melakukan pemantauan kenaikan harga ayam ini.

"Sebaiknya harga ayam dapat dikawal seperti biasa yang dilakukan pada setiap kali musim perayaan," katanya.

Sementara itu, seorang peniaga ayam yang enggan dikenali berkata, dia tidak dapat menjual harga ayam di bawah RM10 bagi setiap kilogram kerana mendapatkan bekalan pda harga tinggi daripada pembekal.

Difahamkan, penternak dan pengeluar memaklumkan kenaikan harga dedak, anak ayam dan sumber tenaga kerja asing menjadi punca kenaikan harga ayam berlaku.

Berikutan itu, harga ayam di beberapa lokasi seluruh negara dilaporkan naik sehingga melebihi RM10 sekilogram sejak beberapa hari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 September 2021 @ 2:12 PM