Caprice dan Muhammad Nadir
Caprice dan Muhammad Nadir
Muhaamad Hafis

Kuala Lumpur: Polis masih menunggu maklum balas daripada penyanyi rap, Ariz Ramli atau Caprice dan Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman berhubung masa sesuai untuk dirakam percakapan.

Kedua-dua individu itu perlu dirakam percakapan bagi melengkapkan siasatan berhubung satu laporan dibuat oleh pendakwah terkenal Ebit Lew di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini, pada 21 Julai lalu.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Ashari Abu Samah berkata, pihaknya sudah menghantar emel kepada mereka namun setakat ini masih belum mendapat maklum balas.

"Kita masih menunggu jawapan daripada mereka selepas polis menghantar emel," katanya ketika dihubungi hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 500/504 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Terdahulu sebelum ini, kedua-duanya yang sudah dihubungi polis bersetuju untuk dirakam keterangan dan akan memberi kerjasama.

Pada 22 Julai lalu, Ebit Lew dilaporkan hadir ke IPD Wangsa Maju untuk dirakam percakapan berkaitan kes berkenaan.

Sebelum ini, pendakwah terkenal itu menafikan dakwaan Muhammad Nadir yang pihaknya membayar ratusan ribu dolar kepada syarikat Hala untuk memasuki Gaza menyifatkan dakwaan itu sebagai fitnah melampau.

Sementara itu, Caprice pula mencetuskan kontroversi apabila mendedahkan tegurannya kepada Ebit Lew susulan rungutan yang didakwa diterima daripada penduduk Gaza mengenai cara pendakwah itu menghulurkan bantuan termasuk perkongsian yang dibuat melalui media sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Ogos 2021 @ 1:44 PM