CAPRICE. FOTO arkib NSTP
CAPRICE. FOTO arkib NSTP
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah menghantar mesej ke nombor telefon terbaru yang dikongsi penyanyi rap, Ariz Ramli atau Caprice namun setakat ini masih belum menerima maklum balas.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Ashari Abu Samah berkata, pihaknya sudah cuba berhubung dengan Caprice melalui nombor telefon itu namun masih belum dibalas.

"Nombor telefon itu pun baru saja dikemaskini selepas dapat tahu polis sedang berusaha mengesannya.

"Polis sedang tunggu dia beri maklum balas," katanya ketika dihubungi hari ini.

Ashari berkata, Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman juga masih gagal dihubungi dan usaha sedang dilakukan untuk merakam keterangan mereka

Harian Metro semalam melaporkan polis memohon bantuan Polis Antarabangsa (Interpol) untuk mengesan Caprice dan Muhammad Nadir.

Ashari dilaporkan berkata, tindakan itu diambil selepas polis gagal mendapatkan maklum balas daripada kedua-duanya berhubung tarikh untuk merakam percakapan mereka.

Menurutnya, kedua-dua individu itu perlu dirakam percakapan bagi melengkapkan siasatan berhubung satu laporan dibuat oleh pendakwah terkenal Ebit Lew di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini, pada 21 Julai lalu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 500/504 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Pada 22 Julai lalu, Ebit Lew hadir ke IPD Wangsa Maju untuk dirakam percakapan berkaitan kes berkenaan.

Sebelum ini, pendakwah terkenal itu menafikan dakwaan Muhammad Nadir yang pihaknya membayar ratusan ribu dolar kepada syarikat Hala untuk memasuki Gaza menyifatkan dakwaan itu sebagai fitnah melampau.

Sementara itu, Caprice pula mencetuskan kontroversi apabila mendedahkan tegurannya kepada Ebit Lew susulan rungutan yang didakwa diterima daripada penduduk Gaza mengenai cara pendakwah itu menghulurkan bantuan termasuk perkongsian yang dibuat melalui media sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Ogos 2021 @ 3:32 PM