CAPRICE (kiri) dan Nadir.
CAPRICE (kiri) dan Nadir.
Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) memohon bantuan Polis Antarabangsa (Interpol) untuk mengesan penyanyi rap, Ariz Ramli atau Caprice dan Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Ashari Abu Samah berkata, tindakan itu diambil selepas polis gagal mendapatkan maklum balas daripada kedua-duanya berhubung tarikh untuk merakam percakapan mereka.

Menurutnya, kedua-dua individu itu perlu dirakam percakapan bagi melengkapkan siasatan berhubung satu laporan dibuat oleh pendakwah terkenal Ebit Lew di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini, pada 21 Julai lalu.

"Kita sudah 'chat' (berbual) dengan mereka, namun tidak dibalas. Maka kita minta bantuan pihak Interpol untuk mengesan dan berhubung dengan mereka.

"Ini kerana kita belum menerima tarikh dan masa yang sesuai daripada mereka untuk diambil keterangan secara dalam talian. Kita menunggu laporan daripada Interpol untuk sebarangan perkembangan mengenai perkara itu," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, pihaknya juga berharap Caprice dan Muhammad Nadir memberi maklum balas secepat mungkin dan kerjasama sewajarnya untuk dirakam percakapan dalam masa terdekat.

Pada 29 Julai lalu, Ashari dipetik berkata, pihaknya dalam proses merakam percakapan dua individu terbabit susulan laporan dibuat Ebit Lew mendakwa difitnah beberapa individu berkaitan misi kemanusiaan di Semenanjung Gaza, Palestin, menerusi media sosial, baru-baru ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 500/504 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Pada 22 Julai lalu, Ebit Lew dilaporkan hadir ke IPD Wangsa Maju untuk dirakam percakapan berkaitan kes berkenaan.

Sebelum ini, pendakwah terkenal itu menafikan dakwaan Muhammad Nadir yang pihaknya membayar ratusan ribu dolar kepada syarikat Hala untuk memasuki Gaza menyifatkan dakwaan itu sebagai fitnah melampau.

Sementara itu, Caprice pula mencetuskan kontroversi apabila mendedahkan tegurannya kepada Ebit Lew susulan rungutan yang didakwa diterima daripada penduduk Gaza mengenai cara pendakwah itu menghulurkan bantuan termasuk perkongsian yang dibuat melalui media sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Ogos 2021 @ 5:28 PM