CAPRICE dan Muhammad Nadir. FOTO arkib NSTP
CAPRICE dan Muhammad Nadir. FOTO arkib NSTP
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Polis selesai mengambil keterangan Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman dan penyanyi rap, Ariz Ramli atau Caprice berhubung misi kemanusiaan di Semenanjung Gaza, Palestin, pada Julai lalu.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Ashari Abu Samah berkata, kedua-dua individu itu selesai diambil keterangan menerusi e-mel.

"Kita sudah menghantar soalan-soalan yang perlu dijawab kepada mereka pada 29 Ogos lalu sebelum mereka selesai menjawab semua soalan diberikan oleh pegawai penyiasat yang menyiasat kes ini.

"Kita kemudian menerima e-mel balas bersama jawapan dari kedua-dua individu berkenaan, baru-baru ini," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya berpuas hati dengan kerjasama yang diberikan kedua-dua individu berkenaan kepada polis.

"Ketika ini, kami dalam proses untuk melengkapkan kertas siasatan kes berkenaan. Sebaik kertas siasatan dilengkapkan, ia akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut," katanya.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 500 serta 504 Kanun Keseksaan, selain Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Pada 22 Julai lalu, pendakwah, Ebit Lew dilaporkan hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju untuk dirakam percakapan berkaitan isu terbabit.

Sebelum ini, pendakwah terkenal itu dipetik menafikan dakwaan Muhammad Nadir yang pihaknya membayar ratusan ribu dolar kepada syarikat Hala untuk memasuki Gaza.

Ebit turut menyifatkan dakwaan dibangkitkan Ketua Pegawai CGM itu sebagai fitnah melampau.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 September 2021 @ 1:18 PM