Gambar fail, Muhammad Nadir.
Gambar fail, Muhammad Nadir.
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman sudah dihubungi dan keterangannya akan dirakam dalam masa terdekat, kata Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Ashari Abu Samah.

Menurutnya, pihaknya dimaklumkan Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM) itu bersedia untuk memberi kerjasama yang sewajarnya.

"Bagaimanapun penyanyi rap, Ariz Ramli atau Caprice setakat ini masih belum menjawab mesej yang dihantar kepadanya," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, Muhammad Nadir mengesahkan dirinya sudah dihubungi polis petang tadi.

"Saya baru menerima mesej daripada pihak polis tadi dan sudah memberi maklum balas serta sedia memberi kerjasama," katanya.

Terdahulu Harian Metro melaporkan Muhammad Nadir akan melantik peguam bagi berurusan dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membantu siasatan susulan laporan dibuat pendakwah Ebit Lew.

Muhammad Nadir turut dilapor akan melantik peguam bagi tujuan berkenaan.

Polis semalam dilapor memohon bantuan Polis Antarabangsa (Interpol) untuk mengesan Muhammad Nadir dan Caprice selepas pihaknya gagal mendapatkan maklum balas daripada kedua-dua individu itu.

Pada 22 Julai lalu, Ebit hadir di IPD Wangsa Maju bagi memberi keterangan mengenai laporan dibuatnya yang disiasat mengikut Seksyen 500/504 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Ogos 2021 @ 7:54 PM