MUHAMMAD Nadir Al-Nuri Kamaruzaman. FOTO arkib NSTP
MUHAMMAD Nadir Al-Nuri Kamaruzaman. FOTO arkib NSTP
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman akan melantik peguam bagi berurusan dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) susulan laporan polis dibuat pendakwah terkenal Ebit Lew.

Muhammad Nadir berkata, beliau akan melantik peguam bagi membantu siasatan dan berurusan dengan polis.

"Saya pun tidak pasti bagaimana PDRM cuba berhubung sebab disebutkan chat.

"Sedangkan puluhan mesej masuk setiap hari untuk jemputan live, sumbangan dan perkembangan projek namun tidak ada isu kerana mereka dapat berhubung dengan saya," katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini.

Menurutnya, beliau tidak pasti mesej yang dihantar oleh PDRM dihantar ke mana sama ada Facebook (FB) atau Instagram (IG).

"Jika di FB atau IG ia mungkin terlepas pandang kerana ada puluhan mesej masuk setiap hari.

"Jadi ada ratusan mesej, saya tidaklah dapat membacanya satu-satu," katanya.

Katanya, beliau sedia memberi kerjasama dengan polis bagi membantu siasatan mereka.

Harian Metro semalam melaporkan polis memohon bantuan Polis Antarabangsa (Interpol) untuk mengesan penyanyi rap, Ariz Ramli atau Caprice dan Muhammad Nadir.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Ashari Abu Samah dilaporkan berkata, tindakan itu diambil selepas polis gagal mendapatkan maklum balas daripada kedua-duanya berhubung tarikh untuk merakam percakapan mereka.

Menurutnya, kedua-dua individu itu perlu dirakam percakapan bagi melengkapkan siasatan berhubung laporan dibuat oleh Ebit Lew di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini, pada 21 Julai lalu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 500/504 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Pada 22 Julai lalu, Ebit Lew dilaporkan hadir ke IPD Wangsa Maju untuk dirakam percakapan berkaitan kes berkenaan.

Sebelum ini, pendakwah terkenal itu menafikan dakwaan Muhammad Nadir yang pihaknya membayar ratusan ribu dolar kepada syarikat Hala untuk memasuki Gaza menyifatkan dakwaan itu sebagai fitnah melampau.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Ogos 2021 @ 6:10 PM