Laporan Harian Metro
Laporan Harian Metro
BERNAMA

Kuching: Ganjaran daripada kerajaan Sarawak menunggu pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Bonnie Bunyau Gustin serta atlet Sarawak lain yang berjaya membawa pulang pingat, kata Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

Bonnie, 22, anak Bidayuh berasal dari Kampung Baru Mawang, Serian berjaya menghadiahkan emas pertama buat negara dalam acara powerlifting kategori 72 kilogram (kg) di Sukan Paralimpik Tokyo hari ini dengan melakukan angkatan seberat 228 kg, sekali gus mencipta rekod baharu Sukan Paralimpik.

"Pasti akan ada ganjaran dari kerajaan negeri dan juga kerajaan pusat untuk Bonnie serta semua atlet yang berjaya memenangi pingat tanpa mengira warnanya di Sukan Paralimpik Tokyo 2021," kata Abdul Karim ketika dihubungi Bernama hari ini.

Abdul Karim berkata Bonnie juga sudah membuat semua rakyat Malaysia dan Sarawak berasa bangga dengan kejayaan beliau itu.

Sementara itu, berapa akaun Facebook termasuk Bidayuh Sarawak, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Puncak Borneo Update turut memberikan ucapan tahniah kepada Bonnie dan menyatakan kejayaan Bonnie satu kebanggan buat negara, khususnya Sarawak.

Turut mengucapkan tahniah kepada Bonnie ialah Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas menerusi akaun Facebook GPS.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Ogos 2021 @ 4:26 PM