BONNIE memenangi pingat emas di Paralimpik Tokyo. FOTO Bernama
BONNIE memenangi pingat emas di Paralimpik Tokyo. FOTO Bernama
Norsyazwani Nasri


Kuching: Selepas cemerlang memenangi emas dan memecah rekod menerusi acara powerlifting kategori lelaki 72 kilogram di Sukan Paralimpik Tokyo 2020, Bonnie Bunyau Gustin mahu memberi fokus untuk merangkul kejuaraan Kejohanan Para Powerlifting Dunia di Georgia, November depan.

Anak kelahiran Kampung Baru Mawang itu berkata, sepanjang cuti selama seminggu ini dia akan menghabiskan cuti bersama keluarga sebelum menyambung semula latihan.

"Selepas habis cuti seminggu saya akan menyambung latihan pusat yang dijalankan di Kuching dan akan berangkat menyambung latihan ke Bukit Jalil dua minggu sebelum terbang ke Georgia.

"Saya berharap rakyat Malaysia amnya dan Sarawak khasnya terus memberi sokongan untuk melakarkan lebih banyak kejayaan pada masa hadapan," katanya hari ini.

Bonnie mengakui selepas dua tahun tidak pulang ke Sarawak kerana komitmen latihan, dia sangat merindui keluarganya.

"Sebagai seorang anak kampung saya cukup gembira kerana dapat membanggakan negara dengan kemenangan pingat emas

"Kejayaan ini bukan kejayaan saya seorang, ia adalah kejayaan untuk ahli keluarga, ibu, ayah dan abang yang banyak memberi dorongan dan inspirasi," katanya.

Untuk rekod, Bonnie turut memenangi beberapa pingat emas di pelbagai temasya sukan antaranya Nur-Sultan, Kazakstan World Para Powerlifting Championship 2019, Tokyo Paralimpik 2020, World Para powerlifting World Cup Bangkok 2021 dan Dubai 2021.

Sementara itu, Gustin Jenang, 54, berkata,anaknya itu seperti remaja lain yang suka bermain dan berkumpul dengan rakan-rakan.

"Kejayaan yang dicapai Bonnie amat membanggakan negara selepas penat lelah mengharungi latihan sebelum kejohanan itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 September 2021 @ 1:08 PM