Dari kiri - Yee Khie dan Bonnie
Dari kiri - Yee Khie dan Bonnie
BERNAMA

Kuching: Penganugerahan pingat kebesaran negeri kepada dua atlet paralimpik negara dari Sarawak, Bonnie Bunyau Gustin dan Jong Yee Khie akan dibincangkan dalam mesyuarat kabinet negeri, kata Menteri Belia dan Sukan Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

Beliau berkata mesyuarat itu juga akan membincangkan insentif lain kepada kedua-dua atlet berkenaan termasuk insentif daripada kerajaan negeri yang biasanya berjumlah separuh daripada insentif yang dibayar oleh kerajaan pusat.

"Saya sokong mereka (diberi pingat kebesaran negeri) kerana kedua-duanya sudah mengharumkan nama negeri dan negara di pesada dunia. Ada jawatankuasa yang akan mencadangkan apa pingat dan penghargaan yang patut diberi kepada mereka," katanya menerusi video di akaun Facebook beliau.

Katanya apa yang penting dua atlet itu sewajarnya diberi insentif setimpal yang dapat membantu mereka seumur hidup seperti pemberian pencen oleh kerajaan pusat kepada atlet-atlet negara yang berjaya membawa pulang pingat emas, perak dan gangsa dari Sukan Olimpik.

Bonnie meraih pingat emas pada Sabtu lalu di Sukan Paralimpik Tokyo 2020 menerusi acara powerlifting kategori 72 kilogram (kg) manakala Yee Khie berhasil meraih pingat perak dalam acara yang sama bagi kategori 107 kg.

Abdul Karim berkata kerajaan pusat membayar pencen kepada atlet-atlet negara yang berjaya memenangi pingat Sukan Olimpik, iaitu RM5,000 sebulan untuk pemenang pingat emas, RM3,000 untuk pingat perak dan RM1,500 untuk pingat gangsa.

Sementara itu, beliau turut meminta pihak swasta untuk turut sama menghulurkan insentif kepada Bonnie dan Yee Khie sebagai menghargai pengorbanan mereka kepada negara.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 September 2021 @ 8:07 PM