MOHAMAD Amin (kanan) dan anaknya, Amizul ketika menyelamatkan peralatan dapur yang ditenggelami banjir di kediamannya di Taman Sri Wangsa, Batu Pahat, hari ini. FOTO ESSA ABU YAMIN.
MOHAMAD Amin (kanan) dan anaknya, Amizul ketika menyelamatkan peralatan dapur yang ditenggelami banjir di kediamannya di Taman Sri Wangsa, Batu Pahat, hari ini. FOTO ESSA ABU YAMIN.
Essa Abu Yamin


Batu Pahat: Kira-kira 300 penduduk di sekitar Taman Sri Wangsa, Taman Pelangi dan Taman Flora, dekat sini, bersiap sedia dengan fenomena air pasang besar yang dijangka berlaku malam ini, sekali gus mengakibatkan banjir di kawasan kediaman mereka.

Mangsa banjir, Mohamad Amin Mohd Sayed, 50, pada awalnya hujan melanda pada 5.30 pagi hari ini dan air banjir mula naik di kediamannya.

"Air banjir kali ini lebih teruk berbanding awal tahun ini apabila ia bertembung dengan air pasang yang mengakibatkan air sedalam 0.3 meter dan memasuki dalam rumah.

"Ketika air banjir mula masuk, saya dan ahli keluarga sedang tidur di ruang tamu, namun tersedar apabila terdengar bunyi angin kuat disusuli hujan lebat sebelum air masuk ke dalam rumah.

"Hujan lebat lebih dua jam itu mengakibatkan banjir sehingga sekarang dan masih belum surut sepenuhnya menyebabkan kami sekeluarga bersiap sedia untuk berhadapan dengan fenomena air pasang besar pula serta hujan yang dijangka pada malam dan awal pagi," katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Sri Wanga, di sini, hari ini.

Seorang lagi mangsa banjir, Fairul Nizam Shah Amri, 31, berkata dia turut berjaga-jaga dengan situasi banjir kerana kediamannya masih digenangi air dan pada masa sama, menunggu arahan pihak berkuasa sekiranya diarahkan berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).

"Sepanjang tujuh tahun tinggal di sini, ini kejadian banjir paling buruk apabila air naik dengan begitu pantas sehingga tidak sempat menyelamatkan barangan elektrik dan perabot di dalam rumah," katanya.

Sementara itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Batu Pahat, Kapten Mohd Faezie Abdul Aziz berkata, hujan lebat selama lebih dua jam dan pertembungan fenomena air pasang besar menyebabkan beberapa kawasan di pusat bandar Batu Pahat dilanda banjir kilat sedalam 0.8 meter, hari ini.

Beliau berkata, kawasan terjejas termasuk pusat bandar Batu Pahat, Taman Sri Wangsa, Taman Flora dan Taman Pelangi.

"Setakat ini, belum ada PPS dibuka dan hujan separa lebat masih berlaku manakala air pasang setinggi 1.40 meter pada 8 pagi.

"Agensi berkaitan masih memantau keadaan dan cuaca dari semasa ke semasa termasuk di tempat rendah yang berisiko dilanda banjir," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Ogos 2021 @ 6:24 PM