Beberapa kawasan di pusat bandar Batu Pahat dilanda banjir kilat akibat hujan lebat dan pertembungan fenomena air pasang besar dekat sini hari ini. Foto Ihsan Pembaca
Beberapa kawasan di pusat bandar Batu Pahat dilanda banjir kilat akibat hujan lebat dan pertembungan fenomena air pasang besar dekat sini hari ini. Foto Ihsan Pembaca
Essa Abu Yamin


Batu Pahat: Hujan lebat lebih dua jam dan pertembungan fenomena air pasang besar menyebabkan beberapa kawasan di pusat bandar Batu Pahat dilanda banjir kilat setinggi satu meter, hari ini.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Batu Pahat, Leftenan Mohd Faezie Abdul Aziz berkata, antara kawasan yang terjejas adalah Jalan Pegawai, Jalan Bukit Pasir, Jalan Rahmat, Jalan Zabedah dan Terminal Bas Batu Pahat.

"Keadaan cuaca sehingga jam 6.30 petang masih lagi hujan separa lebat dan setakat ini tiada pusat pemindahan yang dibuka.

"Hujan lebat dan air pasang setinggi 1.47 meter pada jam 3.40 petang tadi menyebabkan limpahan air ke kawasan berhampiran muara Sungai Batu Pahat," katanya ketika dihubungi dekat sini.

Menurutnya, agensi berkaitan masih memantau keadaan dan cuaca dari semasa ke semasa termasuk di tempat-tempat rendah yang berisiko.

"Pengguna jalan raya yang membawa kenderaan rendah dinasihatkan untuk mengelak melalui jalan-jalan utama di pusat bandar Batu Pahat atau kawasan lain yang terjejas dengan banjir berkenaan

"Nasihat kepada orang awam dan jika berlaku banjir segera menghubungi agensi berkaitan seperti APM, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan polis," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 April 2021 @ 7:08 PM