MOHD Rashid ketika lawatan tapak di beberapa kawasan terjejas air pasang di Batu Pahat. FOTO Essa Abu Yamin
MOHD Rashid ketika lawatan tapak di beberapa kawasan terjejas air pasang di Batu Pahat. FOTO Essa Abu Yamin
Essa Abu Yamin

Batu Pahat: Sebanyak RM19.2 juta diperuntukkan kerajaan persekutuan bagi menaik taraf benteng di pantai sekitar daerah ini dan dijangka siap pada 2023.

Ahli Parlimen Batu Pahat Datuk Mohd Rashid Hasnon berkata, Projek Fenomena Air Pasang Besar itu akan memberi manfaat kepada puluhan ribu penduduk di jajaran pantai sepanjang 34.6 kilometer terbabit.

"Projek berkenaan bertujuan membina dan menaik taraf ban atau penghadang air supaya kemasukan air laut ke kawasan perumahan serta pertanian dapat dikawal.

"Terdapat beberapa kawasan sudah dikenal pasti tempat berisiko berlakunya air pasang besar setiap tahun iaitu di sekitar Tampok, Rengit, Senggarang, Minyak Beku dan Peserai," katanya pada sidang media selepas lawatan tapak di beberapa kawasan terjejas air pasang, di sini, hari ini.

Menurutnya, pembinaan berkenaan dijangka bermula penghujung tahun ini dengan peruntukan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

"Benteng sebelum ini setinggi 3.7 meter namun akibat fenomena alam seperti peningkatan paras air laut menyebabkan benteng berkenaan perlu dinaik taraf.

"Kejadian itu ditambah dengan faktor angin dan hujan lebat menyebabkan limpahan air laut ke kawasan darat termasuk perumahan dan pertanian," katanya.

Beliau berkata, selain daerah Batu Pahat, jajaran pantai di Pontian hingga Muar turut terbabit dalam projek peringkat persekutuan itu.

"Sebanyak RM200 juta diperuntukkan kerajaan pusat dalam projek ini yang sudah diluluskan dalam Rancangan Malaysia ke-11.

"Jajaran pantai di tujuh negeri lain termasuk Melaka, Negeri Sembilan, Selangor dan Perak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Februari 2021 @ 6:56 PM