HAJIJI. FOTO Arkib NSTP
HAJIJI. FOTO Arkib NSTP
Rafiqah Dahali

Kota Kinabalu: Kerajaan Negeri Sabah merakamkan tahniah kepada Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atas pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri kesembilan.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini berkata, Ismail Sabri mempunyai kelayakan dan pengalaman yang diperlukan untuk memimpin negara.

Beliau yang juga merupakan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu juga berkata, pihaknya turut menyokong penuh Ismail Sabri.

"Ini bukan hanya untuk mempercepatkan usaha membangunkan negeri ini tetapi juga yang antara lain mengambil kira hak-hak Sabah.

"Kami akan meneruskan perjuangan ini dan isu berkenaan dengan hak, keutamaan dan keperluan Sabah juga akan diteruskan.

"Sekarang pergolakan kepemimpinan di peringkat Persekutuan telah diselesaikan. Marilah kita semua bersatu, mengenepikan perbezaan, dan terus bergerak untuk memerangi pandemik Covid-19 serta membangunkan kembali ekonomi kita," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri sementara, Tan Sri Muhyiddin Yassin atas khidmatnya kepada rakyat dan negara serta sokongan dan sumbangannya kepada Sabah.

Hari ini, media melaporkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan hari ini berkata, pelantikan terbabit selepas baginda menerima surat akuan seramai 114 Ahli Dewan Rakyat sekali gus mencukupi untuk membentuk kerajaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Ogos 2021 @ 6:25 PM