MAXIMUS Ongkili. FOTO Edmund Samunting
MAXIMUS Ongkili. FOTO Edmund Samunting
Rafiqah Dahali

PARTI Bersatu Sabah (PBS) menyokong pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri Kelapan yang menamatkan kemelut politik negara.

Presidennya, Datuk Maximus Ongkili dalam kenyataan hari ini berkata pihaknya bersyukur kerana kemelut politik bakal berakhir dengan mengambil kira segala tuntutan perundangan dan prosedur sah.

“PBS mengucapkan tahniah kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin. PBS tetap mesra kepada kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan perdana menteri baharu dan menyokong semua inisiatif positif, dasar serta program yang akan memberi manfaat kepada Malaysia terutamanya untuk rakyat Sabah.

“Kami berharap Muhyiddin dapat membantu menyelesaikan masalah Sabah terutamanya berkenaan isu pendatang asing tanpa izin (Pati) dan pemulihan hak negeri seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia (MA63),” katanya.

Katanya, PBS juga memilih untuk kekal neutral ketika kemelut politik terbabit sedang berlanjutan.

“Sepanjang tempoh kemelut politik itu, kami memilih untuk kekal neutral, bebas daripada menjadi sebahagian gabungan politik, apatah lagi masuk campur dalam urusan dan kekacauan pada masa itu.

“Kami di PBS memilih untuk menyokong penyelesaian muktamad kepada pelantikan Perdana Menteri yang baharu bagi mengelakkan ketidakstabilan politik dan ekonomi.

“Dalam keadaan kucar-kacir berkaitan pemilihan Perdana Menteri Kelapan, sebagai ahli parlimen dan Presiden PBS, saya memutuskan untuk bersama-sama dengan ahli parlimen yang bersependapat dengan kami (dalam PBS) terutamanya dari Sabah dan Sarawak untuk menyokong Tun Mahathir Mohamad bagi jawatan itu atas sebab kestabilan politik dan penyelesaian yang kompromi untuk perpaduan,” katanya.

Maximus berkata, PBS memutuskan untuk berkecuali dari pengundian dan tidak menandatangani akuan bersumpah (SD) baharu.

“PBS memutuskan untuk berkecuali daripada pengundian dan tidak menandatangani SD baharu, maka deklarasi terdahulu yang berpihak kepada Tun Mahathir diambil kira sebagai sah.

“Kami yakin bahawa PBS harus mendahulukan kepentingan negara dan Sabah terutama sekali dalam perjuangan politik berbilang kaum berbanding masuk campur kemelut dan perebutan kuasa politik.

“Kami percaya bahawa kuasa sebenar adalah dari rakyat, oleh rakyat dan untuk rakyat,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan desas-desus pakatan baharu
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Mac 2020 @ 7:04 PM