TAN Sri Muhyiddin Yassin
TAN Sri Muhyiddin Yassin
Rafiqah Dahali


Kota Kinabalu: Peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri berserta kabinetnya dilihat tidak akan memberi sebarang implikasi struktural kepada kerajaan Sabah yang diterajui Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Pensyarah Kanan Ilmu Politik dan Ketua Penyelidik GeOPeS (Sabah Geo-Politics & Electoral Studies) di Universiti Malaysia Sabah (UMS) Prof Madya Dr Zaini Othman berkata, peletakan jawatan dan pelantikan perdana menteri baharu juga tidak akan memberi implikasi di negeri lain yang diterajui Perikatan Nasional (PN).

"Dalam tempoh peletakan jawatan sehinggalah kepada perlantikan perdana menteri yang baru, nampaknya setakat ini, ia tidak menggugat atau memberi implikasi struktural kepada pentadbiran atau tatacara kuasa di peringkat negeri.

"Ia bukan sahaja di Sabah malah di negeri diterajui oleh PN, sama ada yang diketuai oleh Umno atau Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) atau parti yang berkolaborasi dalam PN," katanya dihubungi hari ini.

Menurut beliau, daripada segi logik politik, sekiranya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilantik sebagai Perdana Menteri kesembilan, sudah pasti akan berlaku perubahan jajaran kuasa politik di peringkat negeri terutamanya yang dikuasai oleh PN, BN atau Umno.

"Namun berdasarkan kepada titah Yang di-Pertuan Agong yang menginginkan suasana politik stabil, fokus kepada isu mendesak negara, ia disambut baik setiap ketua parti dalam perjumpaan mengadap semalam, saya fikir hal terbabit tidak akan berlaku, sekurang-kurangnya sehingga Pilihan Raya Umum (PRU-15)," katanya.

Dalam pada itu, beliau juga tidak menolak kemungkinan berlaku perubahan terhadap jajaran politik Sabah.

"Politik itu seni serba mungkin. Apa sahaja jajaran dan perkembangan yang tidak disangka boleh berlaku, apatah lagi dalam konteks politik Sabah.

"Kalau kita lihat daripada sudut sejarahnya, setiap kali berlaku perubahan jajaran politik di peringkat Persekutuan, ia turut memberi kesan kepada jajaran politik di Sabah.

"Namun, seperti yang saya nyatakan terdahulu, sehingga PRU-15, saya tidak fikir akan berlaku perubahan jajaran politik kepada GRS," katanya.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri dan jawatan seluruh Jemaah Menteri berkuat kuasa serta merta.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin pada kenyataan berkata, susulan peletakan jawatan itu, Seri Paduka turut berkenan supaya Muhyiddin menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri sementara sehingga perdana menteri baharu dilantik.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Ogos 2021 @ 12:40 PM