FOTO Bernama
FOTO Bernama
BERNAMA

Kuala Lumpur: Perdana Menteri kesembilan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan kepimpinan baharu Persekutuan yang bakal dibentuk diharap dapat memberi tumpuan terhadap hak-hak Sabah dan Sarawak seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Rata-rata pemimpin dan ahli politik dari Sabah dan Sarawak turut menzahirkan harapan dengan pelantikan itu juga dapat menghentikan kemelut politik, seterusnya kerajaan baharu dapat memberi fokus sepenuhnya terhadap usaha menangani pandemik Covid-19.

Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor berkata, kerajaan negeri menyokong penuh pelantikan Ismail Sabri sebagai perdana menteri dan mengharapkan hubungan dengan kerajaan persekutuan akan membuahkan hasil, bukan hanya untuk mempercepatkan usaha membangunkan negeri itu, malah antara lain mengambil kira hak-hak Sabah.

"Kami akan meneruskan perjuangan ini dan isu-isu berkenaan dengan hak, keutamaan dan keperluan Sabah juga akan diteruskan. Sekarang pergolakan kepimpinan di peringkat Persekutuan telah diselesaikan.

"Marilah kita semua bersatu, mengetepikan perbezaan dan terus bergerak untuk memerangi pandemik Covid-19 serta membangun kembali ekonomi kita," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan berharap tiada lagi kemelut politik atau perebutan jawatan akan berlaku selepas ini dan kepimpinan baharu yang bakal dilantik kekal sehingga pilihan raya umum akan datang.

"Kita mahu perdana menteri dan menteri yang akan dilantik akan mengutamakan perkara yang paling penting pada masa kini iaitu masalah Covid-19... bagaimana membantu rakyat yang dalam kesusahan akibat pandemik ini," katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, hari ini.

Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Datuk Arthur Joseph Kurup dalam satu kenyataan berkata, parti itu sebagai komponen Barisan Nasional (BN) menyokong penuh pelantikan itu dan yakin dengan kemampuan Ismail Sabri berdasarkan pengalaman luas beliau dalam pentadbiran kerajaan.

Parti Bersatu Sabah (PBS) Presiden Datuk Seri Dr Maximus Ongkili menyifatkan Ismail Sabri sebagai pilihan tepat bagi mengisi kekosongan kepimpinan dan sebagai perdana menteri beliau telah menunjukkan keupayaan kepimpinannya dalam tempoh 17 bulan dalam kerajaan terdahulu.

"PBS berharap dapat bekerjasama rapat dengan beliau terutama mengenai keperluan pembangunan dan keselamatan Sabah serta menyelesaikan perkara tertangguh berkaitan MA63," katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Ahli Parlimen Santubong Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, semua parti politik yang menyokong pencalonan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri tidak boleh mendesak jawatan dalam pembentukan Jemaah Menteri baharu.

Sebaliknya, katanya, mereka perlu terus bersatu dalam membantu Ismail Sabri menangani isu-isu semasa kerana beliau memikul tanggungjawab besar dalam menyelesaikan pandemik COVID-19.

"Justeru, saya menggesa semua parti politik memberi kerjasama penuh dan sokong perkenan Yang di-Pertuan Agong supaya Ismail Sabri dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada tugas penting mentadbir negara pada masa yang mencabar ini," katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, Kelab Penyokong Gabungan Parti Sarawak (GPS) yakin dengan kemampuan Ismail Sabri untuk menerajui negara ketika dalam suasana sukar ketika ini.

Timbalan Pengerusinya Aidel Lariwoo berharap dengan kepimpinan Ismail Sabri, Malaysia mampu memerangi pandemik COVID-19 yang semakin meruncing serta menyelaras pemulihan ekonomi.

"Adalah menjadi harapan kami agar kerajaan Persekutuan baharu akan bersatu dan mempunyai kepentingan terbaik untuk rakyat.

"Ini bersama-sama dengan meneruskan usaha kerajaan terdahulu dalam mengembalikan hak-hak Sarawak yang termaktub dalam MA63, Persekutuan Perlembagaan dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan 1962," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Ogos 2021 @ 11:15 PM