AIR zam zam yang dirampas. FOTO Ihsan JKDM
AIR zam zam yang dirampas. FOTO Ihsan JKDM
Omar Ahmad


Pasir Gudang: Dua kontena mengandungi 11,000 botol air zam zam bernilai RM412,500 dirampas di Pelabuhan Johor, di sini, 5 Ogos lalu.

Dagangan itu dirampas ketika pemeriksaan dilakukan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) pada 11.50 pagi.

Pengarah Kastam Negeri Johor, Sazali Mohamad berkata, hasil pemeriksaan rapi ke atas kedua-dua kontena itu menemukan 11,000 botol air zam zam bersamaan 55,000 liter yang dipercayai tidak mempunyai permit sah diimport melalui Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP).

"Hasil semakan ke atas dokumen sokongan iaitu 'Bill of Lading' (BoL) dan daftar masuk mendapati dagangan itu diikrar sebagai bunga tiruan.

"Ia bertujuan mengelakkan daripada Permit Import semasa pengimportan dan dikenakan cukai yang tinggi," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, jumlah duti dan cukai dagangan itu berjumlah RM107,250.

Sazali berkata, kedua-dua kontena terbabit kemudian dipindahkan ke dalam gudang Pelabuhan Johor di Pasir Gudang.

Menurutnya, pekerja gudang iaitu seorang lelaki tempatan berusia 56 tahun ditahan untuk membantu siasatan.

Katanya, air zam zam diklasifikasikan sebagai barang larangan import di bawah Butiran 74, Jadual Ketiga, Bahagian I Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 iaitu mengimport barang-barang larangan tanpa permit yang sah dan Peraturan 30(1) Peraturan-Peraturan Zon Bebas (Pindaan) 2019 iaitu mengimport barang-barang larangan di mana-mana zon bebas tanpa permit yang sah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Ogos 2021 @ 5:01 PM