JKDM mematahkan cubaan menyeludup 10.9 juta batang rokok putih yang dianggarkan bernilai RM1.9 juta di Pelabuhan Barat dekat sini pada Jun lalu. FOTO IHSAN JKDM
JKDM mematahkan cubaan menyeludup 10.9 juta batang rokok putih yang dianggarkan bernilai RM1.9 juta di Pelabuhan Barat dekat sini pada Jun lalu. FOTO IHSAN JKDM
Norzamira Che Noh


Pelabuhan Klang: Cubaan sindiket menyeludup 10.9 juta batang rokok putih menerusi Pelabuhan Barat, dekat sini, gagal apabila dirampas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) pada Jun lalu.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Datuk Zazuli Johan berkata, rokok putih dianggarkan bernilai RM1.09 juta itu dirampas menerusi serbuan dilakukan terhadap sebuah kontena pada 16 Jun lalu.

"Bertindak atas maklumat awam dan risikan, JKDM Zon Tengah Unit III (LTA Kuala Lumpur) berjaya menyita kontena di Pelabuhan Barat sekitar jam 6.30 petang.

"Pemeriksaan mendapati kontena bermuatan 10,900,000 batang rokok putih dianggarkan bernilai RM1.09 juta itu membabitkan cukai sebanyak RM7.3 juta.

"Sindiket ini didapati membuat pengikraran tidak benar terhadap pengimportan rokok dengan mengikrar dagangan sebagai 'general cargoes' dalam Daftar Masuk. Ini bertujuan mengelakkan penggunaan Permit Import semasa pengimportan yang jelas untuk mengelakkan dikenakan duti cukai yang tinggi," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati kesemua rokok yang disita diimport dari luar negara tanpa Permit Import yang sah dan tanpa membayar cukai dan duti.

Katanya, rokok diklasifikasikan sebagai barang larangan import di bawah Butiran 66, Jadual Ketiga, Bahagian I Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017 yang mana ia memerlukan Permit Import yang diluluskan oleh Ketua Pengarah Kastam.

"Perbuatan mengimport rokok tanpa Permit Import adalah satu kesalahan mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 dan Peraturan 30(1) Peraturan- Peraturan Zon Bebas (Pindaan) 2019," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Julai 2021 @ 2:13 PM