AIR zam zam yang dirampas. FOTO Ihsan JKDM.
AIR zam zam yang dirampas. FOTO Ihsan JKDM.
Ruwaida Md Zain


Pelabuhan Klang: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah Unit III (LTA Kuala Lumpur) menyita sebuah kontena mengandungi 27,500 liter air zam zam di Pelabuhan Barat, di sini, awal Jun lalu.

Penolong Ketua Pengarah Kastam, Zon Tengah, Datuk Zazuli Johan berkata, pemeriksaan kontena yang mengandungi 27,500 liter air zam zam itu dianggarkan bernilai RM206,250 membabitkan cukai sebanyak RM66,000.

"Hasil siasatan mendapati, modus operandi kes ini adalah membuat pengikraran tidak benar terhadap pengimportan air zam zam dengan mengikrar dagangan sebagai jus dan air minuman di dalam daftar masuk.

"Tindakan itu bertujuan untuk mengelakkan daripada permit import semasa pengimportan dan bagi mengelakkan dikenakan duti cukai yang tinggi.

"Siasatan lanjut mendapati, kesemua air zam zam yang disita adalah diimport dari Arab Saudi tanpa permit import sah dan tanpa membayar cukai dan duti ke atasnya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Zazuli berkata, air zam zam diklasifikasikan sebagai barang larangan import di bawah Butiran 74, Jadual Ketiga, Bahagian I Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017.

"Perbuatan mengimport air zam zam tanpa Permit Import adalah satu kesalahan mengikut Seksyen 135 (1)(a) Akta Kastam 1967 dan Peraturan 30(1) Peraturan-Peraturan Zon Bebas (Pindaan) 2019.

"Jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967, boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang daripada sepuluh kali nilai barang atau RM100,000 yang mana lebih besar dan tidak lebih dari dua puluh kali ganda nilai barang atau RM500,000 yang mana lebih besar, atau dipenjarakan tidak kurang dari enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

"Sementara, jika sabit kesalahan mengikut Peraturan 30(1) Peraturan-Peraturan Zon Bebas (Pindaan) 2019, mahkamah boleh mengenakan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Katanya, orang ramai digesa membantu JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti itu.

"Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi kehilangan hasil, malah ia turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.

"JKDM menyeru kepada orang awam untuk memberi kerjasama menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam terdekat di semua negeri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Julai 2021 @ 10:59 AM